Tuesday, August 4, 2009

Skim perkhidmatan PDRM mengecewakan

KERAJAAN baru-baru ini telah meluluskan Skim Perkhidmatan PDRM dan ia telah disiarkan dalam laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (www.jpa.govt.my) bertarikh 29 Jun 2009.

Pada dasarnya Skim Perkhidmatan Bil. 24 Tahun 2008 - Perubahan Skim Perkhidmatan Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis & Konstabel itu digubal untuk menambah baik skim sedia ada. Namun, skim baru itu sebenarnya tidak menunjukkan sebarang penambahbaikan.

Ia boleh dilihat jika kita bandingkan skim PDRM itu dengan Skim Perkhidmatan Bil. 25 Tahun 2008 - Pen. Pegawai Siasatan/Pegawai Siasatan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan skim perkhidmatan awam lain. Sangat jelas skim untuk SPRM lebih menarik berbanding PDRM.

Dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel yang baru itu, syarat kelayakan untuk Konstabel lantikan tidak berubah iaitu lulus SPM atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya sementara jawatan Konstabel hingga Koperal kekal dalam Kumpulan Perkhidmatan Sokongan II.

Bagi meningkatkan perkhidmatan PDRM, lantikan terus ke jawatan Sarjan diwujudkan dengan kelayakan untuknya ialah STPM atau Diploma. Ia meletakkan jawatan Sarjan hingga Sub Inspektor dalam Kumpulan Perkhidmatan Sokongan I.

Kelayakan masuk bagi lulusan STPM atau Diploma bagi Skim Perkhidmatan SPRM ialah Gred P29 manakala gred kenaikan pangkat ialah Gred P32 dan Gred P38 yang memperolehi gaji yang setaraf dengan gred yang disandang.

Namun, walaupun kelayakan masuk Sarjan lantikan sama dengan Gred P29 tetapi gajinya tidak setaraf dengan gred. Gaji yang diperolehi oleh PDRM untuk Gred P29 itu hanya setaraf dengan Gred N22 dan Gred N26 iaitu Skim Perkhidmatan Perkeranian dan Operasi - kelayakan masuk hanya menggunakan SPM.

Sementara bagi Skim Perkhidmatan Pegawai Kanan Polis, kemasukan Kadet ASP dan pangkat Cif Inspektor dimansuhkan. Kemasukan hanya melalui lantikan Inspektor dengan kemasukan pelbagai iaitu dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ph.D.

Ini meletakkan jawatan Inspektor yang dahulunya dalam Kumpulan Sokongan I, dinaik taraf ke Kumpulan Pengurusan & Profesional. Namun jika diteliti daripada jadual di dalam laman web JPA itu, kadar upah yang diterima oleh kumpulan ini juga amat mengecewakan.

Adalah tidak benar ungkapan bahawa "gaji PDRM antara yang tertinggi berbanding perkhidmatan lain." Hakikatnya tidak begitu. Malah skim perkhidmatan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia yang baru berusia lima tahun, lebih menarik berbanding PDRM!

Nampaknya sumbangan PDRM dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara seperti tidak dihargai. Bayangkan kumpulan perkhidmatan dinaik taraf tetapi gaji masih di takuk lama. Nama sahaja gah tetapi tiada isi!

Jangan terkeliru. Perubahan skim itu nampak sahaja hebat tetapi hakikatnya ia tidak begitu.

JPA sering menegaskan PDRM mempunyai gred tersendiri dan tidak boleh disamakan dengan perkhidmatan awam lain. Tetapi daripada segi protokol dan pemberian imbuhan atau elaun, mahu tidak mahu, perbandingan gred tetap dibuat.

Selepas ini, lepasan ijazah mungkin berfikir tiga empat kali untuk menyertai PDRM kerana skim gaji yang langsung tidak menarik. Lebih baik menyertai SPRM. Gred dan gaji lebih tinggi walaupun kelulusan yang sama.

Atau mungkin mereka nanti hanya memohon sekiranya "tiada kerja lain." Beginikah mutu dan mentaliti yang diperlukan oleh kerajaan untuk menyertai PDRM?

Sangat malang kerana JPA seperti tidak mengiktiraf perkhidmatan PDRM sebagai leading agency dalam soal penguatkuasaan undang-undang negara.

Penggredan semula struktur pangkat PDRM langsung tidak diambil kira dan gred pangkat PDRM sekarang masih mengguna pakai gred sejak 1980. Padahal skim perkhidmatan awam lain telah dipertingkatkan melalui pelaksanaan SSB 1991 dan SSM 2002.

Kerajaan terutamanya Bahagian Saraan JPA yang membuat kajian perkara ini sepatutnya melihat perkhidmatan polis secara global dan perkhidmatannya yang multi tasking.

Skim perkhidmatan dan gaji polis di negara lain begitu tinggi berbanding kita. Tetapi tolonglah jangan dibandingkan dengan Indonesia atau Bangladesh! Ini kerana kita sering disuap dengan istilah "kita masih terbaik berbanding negara lain." Lihatlah dulu negara manakah yang dijadikan perbandingan itu. Kenapa tidak dibandingkan dengan Singapura?

Skim Perkhidmatan PDRM yang baru tidak memberi penambahbaikan kepada PDRM bahkan ia hanya merendahkan martabat dan kewibawaan PDRM.

Anggota dan pegawai polis terpaksa bekerja keras dan berkorban dalam banyak hal terutama masa untuk keluarga tetapi semua itu tidak dihargai.

Dalam usaha kerajaan membanteras rasuah di kalangan kakitangan awam dan ketika PDRM sering berdepan dengan tuduhan penyalahgunaan kuasa dan rasuah, rasanya tindakan pemberian skim yang tidak setimpal itu sangat-sangat tidak adil dan cuba 'menghukum' PDRM.

Veteran dalam PDRM
Kuala Lumpur

Utusan Online