PUTRAJAYA 7 Ogos - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mencadangkan supaya Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) di semua peringkat menubuhkan pusat asuhan dan didikan awal kanak-kanak di premis mereka bekerja.
Pusat-pusat asuhan tersebut disaran mengguna pakai kurikulum Permata Negara yang telah menunjukkan perkembangan amat positif dari segi emosi, kematangan, keyakinan diri serta komunikasi ke atas kanak-kanak yang mengikuti program tersebut.
''Menjadi tanggungjawab kita untuk mempersiap siagakan asas pendidikan yang sempurna kepada kanak-kanak khususnya di bawah usia lima tahun sebagai saham masa depan negara.
''Justeru, saya amat berharap Puspanita dapat mengguna pakai kurikulum Permata sejajar dengan perluasan program ini," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra ahli-ahli Puspanita bersama Penaung Puspanita di Dewan Sri Endon, Puspanita Puri di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Puspanita Kebangsaan, Puan Sri Wan Noorlina Wan Hussin.
Rosmah menjelaskan, peringkat umur di bawah lima tahun perlu diberi perhatian dan fokus kerana dari segi perspektif pembangunan insan, tempoh tersebut paling formatif dan amat kritikal.
''Ini bermakna minda kanak-kanak berkembang paling rapat ketika itu dan perkembangan minda mereka perlu disemai dan dibaja dengan baik agar dapat menjana modal insan yang efektif untuk pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menyarankan ahli-ahli Puspanita yang akan bersara wajib tetapi masih produktif meneruskan khidmat dalam pelbagai bidang sekurang-kurangnya untuk tempoh 10 tahun lagi.
Menurutnya, tenaga mahir dan terlatih di kalangan penjawat awam tidak seharusnya dibazirkan, sebaliknya digembleng dan dimanfaatkan.
''Melalui program pra dan pasca persaraan ini, ia akan membuka peluang kepada bakal pesara untuk terus menyambung khidmat dalam apa jua bentuk dan bidang.
''Saya rasa ini adalah satu cabaran kepada Puspanita untuk melaksanakan sesuatu kelainan bagi ahli-ahlinya," katanya.
Selaku Pengerusi Badan Amal Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Rosmah turut menawarkan perkongsian bijak dengan Puspanita melalui pertukaran dan perkongsian fikiran.
Melalui cara tersebut, beliau berkata, kedua-dua badan itu boleh bertukar-tukar pengalaman dalam usaha melaksanakan program-program bagi membantu golongan memerlukan dan kurang bernasib baik.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment