Monday, August 10, 2009

Sektor Awam Perlu Keanggotaan Semua Kaum Bagi Mencerminkan 1Malaysia - Musa

KOTA KINABALU, 10 Ogos (Bernama) -- Perkhidmatan awam perlu dianggotai oleh pelbagai kaum di Malaysia, bukan sahaja kaum Bumiputera, bagi mencerminkan 1Malaysia dalam sektor itu, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Katanya, pada masa ini bilangan kaum Bumiputera lebih ramai berbanding kaum bukan Bumiputera di semua peringkat perkhidmatan awam.

"Mungkin ada tanggapan bahawa golongan bukan Bumiputera lebih berminat dan selesa bekerja sendiri atau bekerja di sektor swasta yang menawarkan emolumen lebih tinggi berbanding sektor awam.

"Walau bagaimanapun, suka saya menyarankan kepada rakyat di negara ini, khususnya kaum bukan Bumiputera dan juga anak-anak negeri Sabah supaya memasuki perkhidmatan awam," katanya pada perasmian Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Kali Ke-12 di sini Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin.

Musa berkata pertambahan bilangan kaum bukan Bumiputera di sektor awam, terutamanya di peringkat Persekutuan, akan membentuk satu perkhidmatan awam dengan pelbagai kaum yang berkongsi visi dan komitmen sama, sekaligus menjayakan matlamat 1Malaysia.

Beliau juga berkata kerajaan negeri mengalukan usaha untuk menarik perhatian dan menggalakkan penyertaan bukan Bumiputera ke dalam perkhidmatan awam.

Mengenai persidangan itu, Musa berkata ia merupakan wadah terbaik dalam usaha mengenal pasti proses dan kaedah bagi memberi nilai tambah dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan tanpa mengira bangsa, agama dan wilayah.

Katanya, Perkhidmatan Awam Malaysia merupakan tunggak kepada pentadbiran kerajaan yang efektif dan berkualiti.

Bernama Online

No comments: