PUTRAJAYA 14 Okt. - Perdana Menteri mahu hubungan erat antara pentadbiran dan perkhidmatan awam yang terjalin sejak merdeka lagi dapat dikekalkan agar kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara ini terus terjamin.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana negara perlu berdepan dengan banyak cabaran pada masa depan dan hubungan istimewa tersebut merupakan antara kemampuan serta kekuatan yang dimiliki oleh sektor awam.
''Kalau kita melihat dan mengimbau kembali sejarah negara kita, kita berjaya sebagai sebuah negara kerana hubungan ini amat intim antara satu sama lain.
''Perkhidmatan awam sentiasa bersedia untuk membantu menterjemahkan keputusan dan dasar kerajaan serta menentukan pelaksanaannya dapat berjalan dengan sebaik-baiknya.
''Jadi harap-harap, kita sentiasa berganding tangan dan bahu dalam satu ikatan untuk terus menentukan kesejahteraan rakyat dan negara kita membangun sebagai sebuah negara yang berjaya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Pada majlis itu, kira-kira 3,000 kakitangan JPM hadir memeriahkan acara tahunan tersebut yang menyediakan lebih 50 buah gerai dengan pelbagai jenis juadah.
Najib juga menyampaikan hadiah kepada Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Datuk Mohd. Amdan Kurish selepas agensi berkenaan diisytiharkan sebagai johan pertandingan gerai terbaik.
Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan duit hari raya kepada 28 orang kanak-kanak Tadika Pentadbiran Am JPM.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment