IPOH 2 Okt. – Seorang bapa terkilan dan kesal dengan tindakan seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Manjung yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya ketika menguruskan pendaftaran kematian dua anaknya kelmarin.
Zainal Abidin Abdul Wahab, 52, dari Bandar Seri Manjung mendakwa, selain mengeluarkan kata-kata kesat, pegawai terbabit turut bertengkar dengannya.
Katanya, perbalahan timbul kerana pegawai berkenaan enggan memperbetulkan masa kematian dua anaknya yang terbabit dalam kemalangan di laluan dekat Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor, dua hari sebelum umat Islam menyambut Syawal.
‘‘Sebenarnya, masa kematian dua anak saya berbeza. Menurut laporan doktor, Zainuddin, 24, meninggal dunia pada pukul 12.15 tengah hari, manakala kakaknya, CT Zubaidah, 25, pula pada pukul 10.45 pagi.
‘‘Bagaimanapun, laporan yang dikeluarkan pegawai JPN menyatakan kedua-duanya meninggal dunia pada masa yang sama iaitu pada pukul 10.45 pagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zainal Abidin berkata, beliau meminta pegawai terbabit mengubah masa tersebut bagi mengelakkan sebarang masalah atau pertikaian pada masa akan datang berhubung waktu kematian itu.
Bagaimanapun, dakwanya lagi, pegawai terbabit enggan berbuat demikian, malah mengeluarkan kata- kata kesat terhadapnya.
Menurutnya, sikap pegawai terbabit yang enggan menerima teguran dan melayannya yang baru kematian dua orang anak amat mengecewakan.
‘‘Sepatutnya, kalau dia tidak faham, rujuk kepada pegawai atasan, bukannya bertindak sesuka hati dan mengeluarkan kata-kata kesat.
‘‘Pegawai seperti ini tidak sepatutnya ada dalam perkhidmatan awam kerana dia hanya akan mencemarkan nama baik kerajaan,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment