IPOH 6 Okt. - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan seorang pegawainya di cawangan Manjung memberi layanan buruk kepada seorang pelanggan ketika menguruskan dokumen kematian anaknya pada 29 September lalu.
Pegawai Perhubungan Awamnya, Jainisah Mohd. Noor berkata, pengadu, Zainal Abidin Abdul Wahab, 52, sebenarnya yang telah 'menyerang' pegawai bertugas terlebih dahulu.
Menurutnya, kejadian itu disaksikan oleh kakitangan kaunter lain dan tindak balas pegawai berkenaan semata-mata untuk mempertahankan keselamatan dirinya.
''Petugas kaunter JPN cuba menjelaskan prosedur pendaftaran berdasarkan Akta Pendaftaran kematian malangnya pengadu tidak berpuas hati dengan prosedur tersebut.
''Pihak kami kesal dengan insiden yang berlaku itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan dakwaan seorang bapa, Zainal Abidin yang terkilan dan kesal dengan tindakan seorang pegawai JPN Daerah Manjung yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya ketika menguruskan pendaftaran kematian dua anaknya pada Selasa lalu.
Dia mendakwa, selain mengeluarkan kata-kata kesat, pegawai terbabit turut bertengkar dengannya.
Perbalahan timbul kerana pegawai berkenaan enggan membetulkan masa kematian dua anaknya yang terbabit dalam kemalangan di laluan dekat Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor, dua hari sebelum umat Islam menyambut Syawal.
Mengulas lanjut, Jainisah menjelaskan, proses pendaftaran yang dibuat oleh JPN adalah berdasarkan pada maklumat dokumen Permit Menguburkan yang dikeluarkan oleh pihak polis.
Bagaimanapun, katanya, pengadu meminta masa kematian salah seorang anaknya dicatatkan berdasarkan masa yang tercatat pada Sijil Perubatan bagi punca kematian iaitu 12.15 tengah hari dan ia telah pun dilakukan oleh jabatan berkenaan.
Katanya, ketidakpuasan hati pengadu telah menyebabkannya bertindak kasar terhadap petugas kaunter JPN.
''Pihak polis Daerah Manjung juga telah dihubungi bagi membantu mengawal keadaan tersebut dan JPN turut membuat laporan polis atas nasihat polis.
''Jabatan ini ingin menjelaskan sebagai pegawai perkhidmatan awam kami sentiasa mengambil pendekatan untuk berkhidmat dengan sebaiknya kepada orang ramai dan sedar bahawa segala perlakuan kami akan menjadi perhatian," katanya.
Menurutnya, penjelasan itu diharapkan dapat menerangkan situasi sebenar insiden yang berlaku.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment