PUTRAJAYA 30 Okt. – Jemaah Menteri hari ini memutuskan supaya satu jawatankuasa petugas ditubuhkan untuk menyiasat unsur penyelewengan dan rasuah yang didedahkan dalam Laporan Audit Negara 2008.
Mengumumkan demikian, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Ia dianggotai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Ketua Audit Negara, Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sambil menekankan bahawa kerajaan begitu serius mahu memperhebatkan budaya prestasi tinggi di kalangan penjawat awam, Perdana Menteri menegaskan, sebarang salah guna kuasa yang berlaku seharusnya tidak terlepas daripada tindakan tegas.
‘‘(Mesyuarat) Jemaah Menteri (hari ini) memandang berat Laporan Audit Negara (2008) yang telah pun dibentangkan di Parlimen.
“Sayugia dinyatakan kita bukan hendak mencari salah sesiapa tetapi untuk tentukan pihak-pihak yang sengaja melakukan kesalahan secara terang-terangan tidak seharusnya terlepas daripada tindakan tegas.
‘‘Kita nak menjurus pada budaya prestasi tinggi, maknanya penjawat awam yang tunjukkan prestasi cemerlang mendapat ganjaran dan pengiktirafan sebaliknya yang lakukan salah guna kuasa, tindakan pasti diambil,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya petang ini.
Minggu lalu, Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendedahkan kerajaan mungkin terpaksa menanggung sebahagian besar daripada kerugian berjumlah RM1.14 bilion dalam Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang dan Ipoh.
Laporan itu mendapati wujud beberapa kelemahan pihak kontraktor seperti kelewatan, perolehan peralatan dan tren melebihi keperluan atau tidak diselaras dengan pembangunan struktur.
Dalam laporan lain, Ketua Audit Negara turut mengesan tindakan pembekalan alatan kepada badan berkanun Persekutuan pada harga yang ‘tidak masuk akal’ bagi tahun 2008.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam penyelewengan yang didedahkan laporan itu tidak semestinya dari segi undang-undang.
‘‘Tetapi tindakan yang wajar, mungkin kena bayar balik, turun pangkat, tahan pangkat atau setidak-tidaknya berpindah ke tempat lain.
‘‘Tindakan akan diambil berdasarkan pertimbangan yang adil dan saksama. Ia tidaklah dalam bentuk tindakan yang keras sehingga tidak ada pertimbangan kemanusiaan,” katanya.
Kata Najib, Jemaah Menteri percaya tindakan tegas perlu dilakukan memandangkan Laporan Audit Negara didedahkan setiap tahun, justeru sebarang salah guna kuasa dan penyelewengan tidak seharusnya berulang.
Dalam hubungan ini juga, Perdana Menteri berkata, dalam usaha memupuk budaya prestasi tinggi, maka anggota pentadbiran yang menunjukkan prestasi cemerlang akan diumumkan tidak lama lagi.
‘‘Ganjarannya kita akan umumkan bila tiba masanya nanti,” katanya.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment