KUALA LUMPUR 21 Okt. – Elaun yang dibayar kepada guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Perak tidak memuaskan serta masih meletakkan mereka di bawah paras kemiskinan walaupun kerajaan negeri menaikkan elaun kepada RM575 pada Januari lepas.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang memberitahu, semakan audit mendapati semua guru-guru KAFA mengajar 60 jam sebulan iaitu tambahan sebanyak 36 jam.
‘‘Tambahan masa mengajar sebanyak 36 jam adalah melebihi tempoh 24 jam dalam sebulan yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan elaun sebanyak RM500 adalah tidak seimbang dengan jumlah masa tambahan mengajar.
‘‘Guru KAFA berkenaan sepatutnya menerima elaun tambahan berjumlah RM749.88 untuk 36 jam masa tambahan mengajar dan mereka sepatutnya menerima elaun sebanyak RM1,249.88 sebulan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang dikeluarkan kelmarin.
Ambrin memberitahu, siasatan audit yang dijalankan di Pulau Pinang pula mendapati elaun perjalanan penyelia KAFA sebanyak RM3,000 setahun tidak mencukupi bagi membolehkan mereka melakukan penyeliaan terhadap 100 orang guru.
Katanya, jumlah tuntutan perjalanan penyelia yang dibenarkan adalah amat terhad dan ini menyukarkan penyelia terbabit untuk membuat pemantauan dengan lebih berkesan.
‘‘Sehubungan itu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang perlu memohon kepada Jakim agar elaun perjalanan penyelia ditambah had melebihi RM3,000 setahun agar penyelia dapat melaksanakan tugas lawatan dengan lebih menyeluruh,’’ katanya.
Sementara itu Ambrin memberitahu, di Perlis kebanyakan guru, penyelia dan ibu bapa berpuas hati dengan perjalanan KAFA.
Katanya, soal selidik yang dilaksanakan bagi menilai jumlah elaun sebanyak empat penyelia KAFA berpuas hati.
‘‘Soal selidik kepada 60 guru KAFA, sebanyak 60 peratus atau 36 orang guru berpuas hati dengan dengan jumlah elaun manakala 24 lagi tidak berpuas hati,’’ katanya.
Ambrin memberitahu, soal selidik ke atas ibu bapa juga mendapati mereka berpuas hati terhadap kurikulum yang disediakan serta pencapaian anak mereka.
Katanya, di Johor pula kesemua guru KAFA tidak menikmati imbuhan tahunan kakitangan awam walaupun mereka berhak menerimanya seperti diumumkan kerajaan melalui pekeliling pada 2006 dan 2008.
‘‘Ini boleh menjejaskan motivasi guru-guru terlibat sehingga mengganggu perjalanan sistem KAFA,” katanya.
Beliau berkata, di Kedah pula, para penyelia KAFA langsung tidak diberikan latihan atau kursus sepanjang 2006 dan 2008 bagi melengkapkan diri menghadapi situasi tugas diamanahkan.
Menurutnya, para penyelia terlibat hanya menyertai Kursus Kemahiran ICT serta Kursus Pengurusan dan Kewangan Penyelia KAFA pada 2007.
‘‘Pada pendapat Audit, latihan dan kursus kepada penyelia KAFA adalah tidak memuaskan (di Kedah),” tegasnya.
Ambrin menambah, program KAFA di Pahang pula kerap berhadapan dengan masalah peletakan jawatan para penyelia.
Keadaan ini, katanya, disebabkan taraf jawatan penyelia yang tidak tetap serta kadar elaun bulanan yang rendah.
‘‘Ia mengakibatkan proses penyeliaan kelas KAFA terganggu kerana proses lantikan penyelia baru mengambil masa yang lama,’’ jelasnya.
Sementara itu di Selangor, secara keseluruhannya program KAFA adalah kurang memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan ketara yang jika dibiarkan boleh menjejaskan imej kerajaan negeri dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Antara kelemahan yang perlu diambil perhatian serius oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah:
*Perjanjian pelantikan penyelia dan guru KAFA yang tidak ditandatangani dan bilangan penyelia yang tidak mencukupi jika dibandingkan dengan nisbah bilangan guru.
*Terdapat guru KAFA yang menerima elaun daripada sumber Jakim mengajar di Sekolah Rendah Agama Negeri dan Sekolah Rendah Agama Integrasi.
*Elaun guru KAFA terlebih bayar, penempatan murid melebihi 40 orang dalam satu kelas, prasarana dan kemudahan asas tidak lengkap dan kondusif.
*Jawatankuasa Pengurusan Akaun Amanah KAFA peringkat negeri tidak ditubuhkan.
*Sijil Ujian Pencapaian Kelas KAFA tidak diiktiraf bagi tujuan memasuki Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri.
*Jawatankuasa Pelaksana KAFA peringkat negeri tidak bermesyuarat dan tidak memantau aktiviti KAFA.
Bagi Selangor, pada 2008 terdapat 283 buah KAFA Integrasi dan seramai 86,858 murid berdaftar dengan bilangan guru sebanyak 6,260 orang yang diselia oleh seramai 16 orang penyelia.
Dalam pada itu, di Melaka, antara masalah utama yang dikenalpasti ialah kegagalan mematuhi garis panduan yang disediakan menyebabkan wujudnya ketidakseragaman dalam pelaksanaan program KAFA secara berkesan.
Antara Kelemahan lain adalah:
*Prosedur pelantikan tenaga pengajar tidak mematuhi prosedur nisbah yang ditetapkan hingga menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung perbelanjaan elaun.
*Begitu juga dengan kurikulum yang digunakan tidak mematuhi dasar yang ditetapkan oleh Jakim, pengurusan perbelanjaannya juga gagal mematuhi garis panduan jabatan itu.
*Permohonan bantuan pembangunan dan pembaikan sekolah KAFA tidak dirancang dengan baik sehingga bertindih dengan agensi lain.
Bagi Negeri Sembilan, terdapat beberapa buah sekolah KAFA tidak mempunyai Sijil Menduduki (CF) dan kewujudannya juga tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Selain itu, terdapat beberapa sekolah KAFA tidak mematuhi piawaian keselamatan yang telah ditetapkan dalam garis panduan Jakim.
Menurut laporan itu, bilangan pelajar Islam yang tidak mengikuti kelas KAFA adalah tinggi dan ia perlu dipertingkatkan.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment