Saturday, October 24, 2009

CUEPACS diminta kekal hubungan baik dengan kerajaan

KUANTAN 23 Okt. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) perlu mengamalkan pendekatan saling hormat-menghormati dengan kerajaan bagi membolehkan pelbagai tuntutan yang diperjuangkan dapat diselesaikan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pendekatan konfrontasi atau bermusuhan dengan kerajaan bukan sahaja tidak mendatangkan faedah malah menimbulkan pelbagai masalah kepada kesatuan.
Beliau berkata, adalah mustahil untuk kerajaan memuaskan hati semua pihak termasuk pemberian bonus dan kenaikan gaji ketika ekonomi dunia berdepan dengan ketidaktentuan.
"Yang mustahak ialah kepimpinan CUEPACS terus menjalin hubungan baik dengan kerajaan di samping menasihatkan ahli-ahli supaya terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
"Banyak masalah seperti tuntutan bonus dan kenaikan gaji yang diperjuangkan oleh kesatuan itu dapat diselesaikan jika hubungan harmoni dengan kerajaan dapat dikekalkan,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Seminar Presiden-Presiden Kesatuan Gabungan CUEPACS di sebuah hotel di sini semalam.
Turut hadir Presiden CUEPACS, Omar Osman dan Pengerusi CUEPACS Pahang, Kamarozaman Abd. Razak.
Adnan menjelaskan, gaji yang benar-benar memuaskan hati semua pihak hanya akan dapat dinikmati apabila kedudukan kerajaan dan ekonomi negara kukuh.
"Oleh itu ahli-ahli CUEPACS perlu membantu kerajaan bagi memastikan ekonomi negara dalam keadaan baik,'' ujarnya.
Beliau turut meminta pemimpin kesatuan meningkatkan ilmu di kalangan ahli supaya mampu berfikir dan bertindak secara rasional serta reda menghadapi masalah.
Beliau juga meminta CUEPACS memberi peluang dan membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjayakan gagasan 1Malaysia yang memberi penekanan kepada perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum sebagai asas pembangunan dan kemajuan negara.
"Ini penting kerana tanpa perpaduan yang kukuh, segala rancangan pembangunan yang dibuat oleh kerajaan tidak akan dapat dilaksanakan,'' katanya.

Utusan Online

No comments: