KOTA KINABALU 30 Okt. - Jabatan Penerangan Sabah menafikan ada mengeluarkan iklan jawatan kosong dalam Internet seperti disiarkan oleh beberapa laman web.
Pengarahnya, Azizan Din berkata, iklan yang dibuat oleh individu yang tidak bertanggungjawab itu merupakan satu penipuan serius dan jenayah berat.
''Kita hanya menawarkan jawatan kosong melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sahaja. Oleh itu kita berharap orang ramai berhati-hati dan tidak tertipu dengan tawaran iklan di Internet itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Azizan menegaskan, penipuan itu serius kerana ia bukan sahaja melibatkan nama baik jabatan tetapi melibatkan wang.
Katanya, kerajaan tidak pernah meminta duit sebagai syarat untuk mendapatkan pekerjaan.
Menurutnya, penipuan itu terbongkar apabila seramai 13 pencari pekerjaan datang ke pejabat bertanyakan tarikh temu duga.
''Setakat ini, tiga daripada pencari kerja tersebut mengakui telah mendepositkan wang sebanyak RM500 ke akaun individu tertentu seperti diarahkan iklan dalam Internet itu," katanya.
Azizan berkata, pihaknya akan membuat laporan polis dan sedia memberikan kerjasama penuh bagi menangkap individu yang tidak bertanggungjawab itu.
"Apa yang kita kesalkan, kebanyakan mangsa penipuan itu datang dari jauh seperti dari Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna," katanya.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment