Thursday, January 28, 2010

Individu pertama dihadap ke makhamah

SHAH ALAM - Seorang Penolong Pegawai Daerah (Tanah) gred M44 menjadi orang pertama yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, berhubung isu curi pasir yang melibatkan tangkapan sebanyak 38 suspek oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Norhanizatuazwin Samsuni, 29, yang bertugas di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, dekat sini didakwa memperoleh rasuah bernilai RM10,000 daripada seorang pengarah syarikat pemaju yang bergelar datuk.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 12.30 tengah hari, 17 Mac 2009 di nombor 45A, Jalan Bukit Mewah 11, Taman Bukit Mewah, Kajang, dekat sini dan suapan itu didakwa sebagai bayaran peringkat 2(a) dan sebahagian peringkat 2(b) untuk rumah C-4-25, Rumah Pangsa, Kajang Impian.


Suapan itu didakwa sebagai balasan untuk tertuduh membantu meluluskan Permohonan Tempoh Permit Bagi Kebenaran Khas untuk Mengalih Bahan Batuan (Mendapan Kelodak / Tanah Merah) ke atas tanah PN8602, Lot 7705, Mukim Hulu Langat bertarikh 5 Februari 2009 kepada syarikat pemaju itu.


Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan RM10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.


Bagi tuduhan itu, tertuduh juga menghadapi satu pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda jika sabit kesalahan kerana didakwa menerima suapan yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.


Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Ng Siew Wee menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.


Tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan kerana statusnya sebagai ibu tunggal yang menyara seorang anak berusia setahun tiga bulan dan adik yang bersekolah di sekolah teknik.


“Saya dalam proses tuntutan nafkah selepas perceraian yang memerlukan kewangan bagi urusan guaman.“Saya juga ada tanggungan lain seperti bayaran kereta, sewa rumah, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan kad kredit,” katanya.


Tertuduh juga menyatakan, dia bekerjasama dengan SPRM sejak ditangkap 20 Januari lalu sehingga dilepaskan dengan jaminan Isnin lalu.


Hakim Mat Ghani Abdullah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula 25 Februari untuk lantikan peguam.


Beliau juga membenarkan permohonan Siew Wee supaya mahkamah mengguna pakai Seksyen 101(2) Akta Mahkamah Rendah untuk perintah sekatan supaya nama pengarah dan syarikat tidak didedahkan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan SPRM.



Sinar Harian

No comments: