Tuesday, January 12, 2010

Penjawat awam perlu profesional

PUTRAJAYA 11 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu sektor perkhidmatan awam negara berkhidmat secara penuh profesional tanpa didorong oleh kecenderungan politik.

Perdana Menteri berkata, keadaan itu akan membolehkan penjawat awam menterjemahkan dan menyokong hasrat serta dasar kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

"Ini satu prinsip yang suci dalam negara jika kita hendak menjadikan negara ini maju dan mencapai kejayaan.

"Penjawat awam tidak kira apa jua pandangan peribadi, mesti berpegang teguh dan kukuh kepada prinsip profesional yang total," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.
Turut hadir Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri.

Pada majlis yang sama, Najib menyampaikan Sijil MS ISO 9001:2008 kepada SPA dan melancarkan Kaedah Pengambilan Secara Profiling (MyRecruitment) suruhanjaya itu.

Menurut Perdana Menteri, perkhidmatan awam juga perlu berani mencuba kaedah-kaedah baru bagi melaksanakan program transformasi ke arah mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara moden.

Utusan Online

No comments: