KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan sistem ganjaran dan hukuman untuk 1.2 juta penjawat awam sebagai langkah meningkatkan produktiviti dan memupuk etika kerja lebih baik, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Beliau berkata sudah tiba masanya penjawat awam dinilai dan diberi ganjaran berdasarkan prestasi masing-masing bukan diberi ganjaran secara menyeluruh seperti sekarang.
"Kami sedar bahawa bagi menjamin keberkesanan sesuatu sistem, perlu ada ganjaran dan hukuman.
Setakat ini, kami melihat kepada aspek ganjaran," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Persidangan Tinjauan Strategik Malaysia ke-12 di sini hari Selasa.
"Kini, penjawat awam yang tidak melaksanakan tugas seperti yang sepatutnya, ditempatkan dalam "pool" atau "bilik sejuk", dan menerima gaji setiap bulan, walaupun bekerja dengan tidak seberapa.
Tetapi, ia memberi kesan tidak baik terhadap rekod mereka," katanya.Beliau berkata kerajaan juga sedang mengkaji secara mendalam terhadap langkah mengguna pakai sistem ganjaran dan hukuman di bawah Program Transformasi Kerajaan (PTK), yang memasuki tahun pertama pelaksanaannya tahun ini.
"Bagaimanapun, dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaannya, tumpuan kami ialah bagaimana hendak menggalakkan dan memberi sokongan kepada setiap orang supaya bertugas dengan lebih baik, bukan untuk mula melaksanakan hukuman...langkah ini jauh lebih penting ketika ini," katanya.
Koh berkata kerajaan sedang meneliti model yang diguna pakai di negara lain seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan China tentang pelaksanaannya.
Katanya sistem mengambil dan membuang pekerja yang diguna pakai oleh sektor swasta juga diberi pertimbangan.
Koh juga berkata bahawa Khamis ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan buku tentang Program Transformasi Kerajaan yang menampilkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), di samping beberapa rancangan utama yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan serta cadangan bagi menjayakan transformasi yang dimaksudkan.
Bernama Online
No comments:
Post a Comment