TAHNIAH kepada pasukan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Jabatan Perdana Menteri yang bertungkus lumus merangka dan menyiapkan buku Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (PTK) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.
Sekarang tiba masa menggerakkan pelan dan program yang dicatatkan pada buku itu dilaksanakan.
Rakyat ingin melihat hasil nyata dan bukan sekadar laporan yang dicantikkan dengan grafik dan gambar.
Kalau dibaca betul-betul ada pesanan Perdana Menteri di dalam Kata-kata Aluan buku tersebut. Najib sendiri cukup sedar bahawa bukan mudah untuk mengubah budaya kerja 'orang kerajaan.' Sebab program transformasi yang sedang digerakkan oleh beliau akan melalui cara baru yang radikal.
Dalam melaksanakan usaha-usaha PTK ini, yang ditakuti seperti yang dirasai oleh Perdana Menteri ialah halangan dan kekangan, termasuk sasaran yang tidak dicapai, inisiatif-inisiatif yang mungkin tidak mendatangkan hasil, penolakan segolongan masyarakat terhadap perubahan dan cabaran-cabaran baru yang tidak dapat dijangkakan.
Saya yakin walaupun ada cabaran-cabaran yang tidak dapat dielakkan, kerajaan mampu mengatasinya dan akan mencapai matlamatnya. Tetapi ia memerlukan sokongan serta kerjasama daripada rakyat, sektor awam, sektor sosial dan semua segmen masyarakat.
Kita tidak mahu mendengar PTK dikatakan hanya slogan atau penjenamaan pada program-program kerajaan yang terdahulu. Soal kelemahan, kelembapan pada dasarnya melibatkan tahap pelaksanaan.
PTK tidak patut ada alasan jika prosesnya perlahan atau tidak berkesan.
Pada saya, maju, mundur, pantas atau lembab PTK bergantung kepada orang yang melaksanakannya. Sekarang sudah ada KPI dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang perlu dipenuhi oleh pemimpin kerajaan dan penjawat awam.
Apakah mereka prihatin kepada penilaian itu. Atau mereka buat-buat tidak ambil peduli kerana setiap bulan gaji pasti sudah ada di dalam bank.
Mungkin ada sebilangan penjawat awam yang membelakangkan soal prestasi mereka. Mereka tak peduli, tetapi kesannya boleh memberi imej buruk kepada kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional. Mereka tidak peduli kerajaan bertukar ganti atau tidak asalkan mereka menerima gaji hingga bersara.
Mereka tahu bila parti memerintah bertukar, kedudukan sebagai penjawat awam tidak terjejas. Sebab, sudah termaktub dalam perjanjian 'tanda tangan mati' itu, mereka adalah kakitangan awam yang tidak ada kena-mengena dengan parti politik yang memerintah kerajaan.
Sebab itu saya menyokong kerajaan membuat pendekatan baru pada sistem perkhidmatan awam.
Elok benar jika kerajaan memperkenalkan sistem ganjaran dan hukuman untuk 1.2 juta penjawat awam sebagai langkah meningkatkan produktiviti dan memupuk etika kerja lebih baik.
Hanya orang yang betul-betul mahu berbakti dan berkhidmat untuk rakyat yang layak menerima gaji dan ganjaran. Golongan penumpang, harus mengubah sikap.
Sekarang bukan zaman rakyat tidak dapat berbuat apa-apa dengan kerenah dan sikap penjawat awam. Kerajaan sedar akan kuasa rakyat.
Jadi sudah tiba masanya menyedarkan penjawat awam bahawa mereka yang benar-benar berkhidmat pada tahap tertinggi sahaja patut diberi ganjaran dan bukan diberi ganjaran secara menyeluruh seperti sekarang.
Pada masa kini, penjawat awam yang tidak melaksanakan tugas yang sepatutnya, hanya ditempatkan dalam "pool" atau "bilik sejuk", tetapi masih menerima gaji yang sama setiap bulan.
Dalam konteks PTK, kejayaan atau kegagalannya bergantung kepada kerjasama para penjawat awam. Mereka menjadi satu pra-syarat untuk PTK mencapai kejayaan. Ingat pada kata-kata Najib bahawa "Tiada apa pun akan berjaya dalam kerajaan tanpa sokongan daripada perkhidmatan awam."
Sokongan penuh mereka dalam PTK ini dan dalam gagasan 1Malaysia, Rakyat Diutamakan, Pencapaian Didahulukan amat dituntut.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment