KUCHING, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan Sarawak pada Selasa meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan terhadap kontraktor yang mengabaikan aspek keselamatan pengguna ketika melakukan kerja-kerja pembaikan jalan raya di negeri itu.
Menteri Kemudahan Awam negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata berdasarkan pemerhatiannya ramai kontraktor yang melaksanakan projek membaiki dan menaiktaraf jalan raya di negeri itu mengambil mudah aspek keselamatan dan gagal memberi amaran secukupnya kepada pengguna jalan raya.
"Saya lihat ada kontraktor tak letak papan tanda atau pagar mahupun lampu pada persekitaran jalan yang sedang dibina atau diperbesarkan bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya menggunakan jalan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya di sini pada Selasa.
Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua berkata sikap sedemikian sudah tidak boleh diterima memandangkan ia melibatkan nyawa orang ramai.
"Di Australia misalnya walaupun ianya melibatkan pembaikan lopak kecil di jalan raya, kontraktor diarah untuk memasang pagar dan lampu dengan segera supaya pemandu mengetahui ada proses pembinaan berlaku," katanya.
Terdahulu semasa berucap merasmikan kempen tersebut, Awang Tengah berkata dalam tempoh lapan tahun sehingga tahun 2008, secara purata Sarawak mencatatkan 305 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun dan menyebabkan kerugian sekitar RM367 juta daripada segi sosio-ekonomi negeri.
"Saya dimaklumkan bahawa 45 peratus yang terkorban adalah pencari nafkah utama dalam keluarga," katanya.
Bernama Online
No comments:
Post a Comment