Saturday, January 16, 2010

Park & Ride gagal kerana penjawat awam

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

ENTAH di mana silapnya. Kemudahan Park & Ride (P&R) yang mampu memuatkan 3,000 buah kereta di Presint 1 dan 7, Putrajaya masih gagal menarik minat ribuan penjawat awam menggunakan perkhidmatan itu.

Walaupun kemudahan itu tidak mungkin diperoleh jika mereka bekerja di Kuala Lumpur, namun nampaknya penjawat awam di Putrajaya kelihatannya lebih selesa membawa kereta ke tempat kerja.

Tanpa perlu menunggu sehingga berjam-jam, mereka sebenarnya boleh menggunakan perkhidmatan bas NadiPutra ke tempat kerja yang terletak hanya beberapa kilometer dari lokasi P&R. Malangnya, kemudahan tersebut seolah-olah dipandang sepi.

Tindakan Perbadanan Putrajaya menguatkuasakan sistem tempat letak kereta berbayar di kawasan Kompleks Kerajaan di Presint 1 dan Presint Diplomatik sejak 1 Disember lalu hanya mampu 'mengajar' penjawat awam untuk tempoh yang singkat.

Buktinya, apabila mengetahui penguatkuasaan itu hanya membabitkan tempat letak kereta di sekitar Kompleks Perdana Putra, Laman Perdana, Kompleks B dan Kompleks C di Presint 1, kakitangan awam kembali bermaharajalela di Kompleks D dan E.

Pelawat yang sebelum ini boleh menarik nafas lega apabila puluhan petak letak kereta kosong di Kompleks D dan E, sebaliknya hanya mendapati kelegaan itu bersifat sementara.

Ini kerana sebaik menyedari pelaksanaannya di situ masih belum dikuatkuasakan, ratusan kereta penjawat awam kembali menyesakkan kawasan Kompleks D dan E terutama di tempat letak kereta pelawat. Ini menyebabkan tiada ruang langsung untuk pelawat meletakkan kereta.

Perbadanan Putrajaya dalam reaksinya memaklumkan pelaksanaan tempat kereta berbayar di Kompleks D dan E akan dapat dilakukan selepas proses tender berakhir kira-kira tiga bulan lagi.

Sepanjang tempoh itu, pelawat terpaksa bersabar dan menggunakan khidmat P&R walaupun urusan yang hendak dilakukan mungkin memakan masa sekitar 10 minit sahaja seperti memperbaharui lesen memandu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagi pihak polis dan penguat kuasa Perbadanan Putrajaya pula, mereka tiada pilihan selain daripada terpaksa menyempurnakan tugas yang telah diarahkan iaitu menyaman mana-mana kenderaan yang diletakkan di bahu-bahu jalan.

Tanpa bersikap prejudis, tugas yang mereka lakukan memang betul tetapi amat menyakitkan hati bagi yang disaman kerana 'surat cinta' itu berpunca daripada sikap tidak bertimbang rasa penjawat awam yang meletakkan kereta di tempat pelawat.

Kakitangan awam sebenarnya sangat beruntung kerana jabatan masing-masing menyediakan bas khas untuk ke tempat kerja jika meletakkan kereta di P&R. Ini berbeza dengan pelawat yang perlu menaiki bas NadiPutra dan terpaksa berjalan jauh untuk ke tempat yang dituju.

Dan jika kakitangan awam menggunakan bas NadiPutra sekalipun, mereka hanya perlu membayar sekitar RM17 sahaja sebulan. Jumlah itu amat murah dan menguntungkan.

Pihak Perbadanan Putrajaya barangkali perlu lebih bersikap proaktif dalam mempromosikan P&R agar penjawat awam menggunakan perkhidmatan tersebut untuk memenuhkan ribuan tempat letak kereta yang terbiar kosong.

Timbalan Pengarah Perhubungan Awam Perbadanan Putrajaya, Zaharah Selamat sebelum ini memaklumkan bahawa langkah memperkenalkan tempat letak kereta berbayar bertujuan memberikan kemudahan kepada para pelawat mendapatkan tempat meletak kereta.

Selain itu langkah berkenaan bagi mengawal orang ramai meletak kereta di merata-rata tempat.

''Penguatkuasaan sistem bayaran itu dijangka dapat mengurangkan masalah kekurangan tempat letak kereta dan kesesakan lalu lintas yang kian meruncing di kawasan Kom pleks Pejabat Kerajaan di Putrajaya.

''Pemilik kenderaan dinasihatkan agar meletak kenderaan mereka di kawasan tempat letak kereta berbayar yang ditetapkan bagi mengelak daripada dikompaun atau disaman oleh penguat kuasa trafik," katanya.

Barangkali, Perbadanan Putrajaya perlu membuat kaji selidik ke atas penjawat awam untuk mendapatkan punca mengapa mereka enggan menggunakan khidmat P&R.

Rumusan kaji selidik itu dapat membantu mereka mencari jalan penyelesaian, sekali gus memikirkan satu langkah yang lebih efisien untuk mendidik warga penjawat awam agar menggunakan perkhidmatan awam di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini.

Utusan Online

No comments: