Thursday, January 14, 2010

Pasukan Petugas Pengawasan Integriti Negeri ditubuh

KOTA KINABALU 13 Jan. - Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) peringkat kerajaan Sabah hari ini menubuhkan Pasukan Petugas Pengawasan Integriti Negeri bertujuan meningkatkan integriti dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, antara peranan utama pasukan itu ialah melaksana, merangka strategi dan pelan tindakan menerusi program-program integriti.

"Laporan mengenai program integriti ini akan dibuat sebulan dan tiga bulan sekali dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja JKP.

"Bagi memastikan kejayaan setiap perancangan, pelaksanaan dan kejayaan program pembangunan, nilai integriti hendaklah mendasari apa juga tindakan seluruh anggota perkhidmatan awam," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat JKP di Wisma Innoprise, Likas, di sini hari ini.

Musa berkata, pasukan itu akan melakukan pemeriksaan mengejut di semua agensi kerajaan untuk menilai prestasi mereka sebelum dilapor kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Sukarti Wakiman dan ketua jabatan yang berkaitan.

Selain itu, katanya, pasukan tersebut juga akan mengesyor cadangan penambahbaikan kepada agensi-agensi kerajaan itu sekiranya terdapat kekurangan atau kelemahan.

Beliau memberitahu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Nordin Siman mengetuai pasukan itu dan dibarisi pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Biro Pengaduan Awam Negeri dan Unit Pengurusan Integriti Jabatan Ketua Menteri.

Mengenai mesyuarat tersebut, Musa berkata, beberapa ketetapan dibuat bagi memantapkan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri dari peringkat bawahan hingga atasan.

Jelasnya, bagi ketua jabatan, mereka perlu komited dalam usaha meningkatkan integriti dan kecekapan di kalangan pegawai di bawah kawalannya tanpa pilih kasih.

"Tindakan yang diambil perlu berasaskan aduan atau maklumat yang diterima. Pada masa yang sama ketua jabatan juga perlu sedia menerima teguran atau idea baru," ujarnya.

Menurut beliau, jika pegawai-pegawai melanggar peraturan, hukuman perlu dijatuhkan segera kerana keadaan itu akan mewujudkan kesedaran dan menguatkan lagi disiplin.

Bagi kakitangan yang melakukan kesalahan pula katanya, tindakan tatatertib akan dikenakan dan perkara itu diputuskan jawatankuasa tatatertib di jabatan masing-masing.

"Kita juga minta setiap aduan orang awam hendaklah diselesaikan dengan segera. Dalam hal ini, Biro Pengaduan Awam perlulah diperkasakan lagi," katanya.

Utusan Online

No comments: