AGAK lucu membaca surat tulisan Koperal Mohd Zamzam Abdullah di ruangan ini Jumaat lalu, sehinggakan soal warna pakaian polis bantuan yang sama dengan anggota polis biasa dijadikan agenda utama perjuangannya yang mewakili Persatuan Pegawai Rendah Polis Di Raja Malaysia.
Alasan beliau polis bantuan menyalah guna kuasa kerana warna pakaian sama. Masalah salah guna kuasa bukan bergantung kepada warna pakaian, sebaliknya kepada individu itu sendiri.
Dalam pasukan PDRM sendiri pun apa kurangnya masalah ini. Yang ditangkap kerana kes rasuah, dadah, skandal seks dan kesalahan lain, ramai juga tetapi itu individu, bukan pasukan.
Kalau Koperal Zam selalu baca akhbar dan tengok televisyen, banyak individu dalam pelbagai jabatan kerajaan, menyalah guna kuasa, dilaporkan.
Dalam akhbar Berita Harian di muka depan baru-baru ini misalnya, tajuk besar melaporkan 'Pasir kita ke Kota Singa'.
Kenapa berlaku begitu? Kerana ada individu terbabit tidak jujur dan ia tidak membabitkan semua anggota jabatan berkenaan.
Apa salahnya kerajaan mengiktiraf polis bantuan yang membantu polis menjaga harta kerajaan dan agensinya dengan warna pakaian sama dengan anggota biasa PDRM.
Sejarah polis bantuan membantu polis seperti yang digambarkan dalam filem Bukit Kepong agak besar juga pengorbanan mereka pada negara.
Jangan nafikan sejarah itu semata-mata kerana warna pakaian sama. Koperal jangan jadi orang yang buta sejarah. Jangan gah kerana anggota polis dianggap sebagai 'anak kandung' kerajaan dan jangan jadikan polis bantuan sebagai 'anak tiri' kerajaan.
Negara sudah lebih 50 tahun merdeka, koperal sepatutnya berfikiran terbuka. Kalau zaman penjajah dulu, polis bantuan tanpa pakaian seragam bantu polis ketika balai Bukit Kepong diserang komunis.
Itu masa orang lain memerintah negara kita. Sekarang kita sudah merdeka dan apa salahnya kerajaan mengiktiraf peranan polis bantuan dengan membenarkan warna pakaian sama.
Antaranya, di pangkal nombor polis, polis bantuan tertulis dua huruf iaitu (PB..........) tetapi polis biasa tidak. Perbezaan lain ialah logo korporat atau agensi kerajaan.
PUTERA SETIU,
Kemaman,
Terengganu.
Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment