Wednesday, April 7, 2010

Bekas prebet tentera boleh sertai JPA

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat dalam ruangan ini bertarikh 9 Mac 2010 bertajuk Bekas Prebet Pun Mahu Kerja Di Sektor Awam.

Pada masa ini, terdapat 15 skim perkhidmatan dengan peruntukan syarat lantikan yang membuka peluang kepada bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk dilantik semula ke dalam perkhidmatan awam.

Selain itu, bekas polis dan tentera juga boleh memohon untuk dilantik ke mana- mana skim perkhidmatan yang berkuat kuasa, tertakluk kepada pemohon yang memenuhi syarat kelayakan akademik dan perbekalan syarat-syarat yang lain.

Ini kerana skim perkhidmatan hanya menetapkan had umur minimum untuk calon yang memohon iaitu berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan.

Sukacita JPA menarik perhatian tuan bahawa bekas Prebet PDRM dan ATM boleh dipertimbangkan untuk pelantikan ke jawatan Pengawal Keselamatan Gred KP11 dan Pengawas Pemulihan Gred N1.

Oleh yang demikian, dakwaan bahawa tiada peluang bagi bekas prebet untuk dilantik ke dalam perkhidmatan awam adalah tidak tepat.

Dalam mengiktiraf jasa dan pengorbanan bekas polis dan bekas tentera, kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2001 telah meluluskan pemberian hadiah pergerakan gaji kepada mana-mana bekas polis dan bekas tentera yang dilantik semula ke dalam perkhidmatan awam secara tetap.

Insentif ini tertakluk kepada tempoh pengalaman kerja mereka sesuai dengan tugas jawatan perkhidmatan awam yang ditawarkan serta syarat-syarat lain yang ditetapkan dalam pekeliling perkhidmatan tersebut.

Selain itu, pekeliling perkhidmatan berkenaan turut memaklumkan bahawa Pihak Berkuasa Melantik hendaklah memberi keutamaan kepada calon bekas polis dan bekas tentera dalam sesuatu urusan pengambilan jika memiliki kelayakan yang sama atau setaraf dengan kelayakan yang dimiliki oleh calon yang lain.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Jabatan Perkhidmatan
Awam Malaysia


Utusan Malaysia Online

No comments: