PUTRAJAYA 1 April - Kerajaan akan menambah jumlah Profesor Diraja dan mewujudkan satu kategori Profesor Kanan dalam tindakan susulan untuk membenarkan skim profesor meningkat sehingga peringkat tertinggi turus tanpa perlu memegang sebarang jawatan pentadbiran di universiti awam.
Mengumumkan demikian hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berikutan itu, Seksyen 46 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 akan dipinda bagi menambah jumlah Profesor Diraja yang boleh dilantik pada satu-satu masa yang kini hanya terhad kepada tiga orang.
Kata Perdana Menteri, untuk tujuan itu satu pakej ganjaran yang sesuai dengan ketinggian status Profesor Diraja akan diadakan yang mana pakej ini tidak akan terikat dengan mana-mana tangga sedia ada dalam perkhidmatan awam.
''Bagi kategori Profesor Kanan yang akan diwujudkan itu, mereka yang berada pada kategori ini akan diletakkan di bawah Gred Turus perkhidmatan awam.
''Bagaimanapun, jumlah jawatan Profesor Diraja dan Profesor Kanan akan ditentukan kemudian oleh jawatankuasa khas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Majlis Profesor Negara dan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCoE) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Ketika ini jawatan Profesor Diraja hanya disandang oleh Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid. Bilangan profesor di seluruh IPTA yang direkodkan setakat ini pula adalah seramai 1,426 orang.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment