Jika DEB kurang berjaya
Pastikan MEB membawa putik
Jangan terlalu risau apa orang kata
Janganlah terlalu 'apologitic'
KITA perlu berhubaya-hubaya dan waspada bahawa pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) semenjak akhir-akhir ini antara lain bertujuan untuk mempengaruhi proses penggubalan Model Ekonomi Baru (MEB) sekarang supaya menyimpang daripada matlamat mulia DEB itu.
Pihak-pihak yang membuat tohmahan itu secara am dapat dikategorikan kepada dua kumpulan. Pertama golongan yang ingin mengekalkan status quo kedudukan sosio-eokonomi antara kaum yang wujud sebelum berlakunya peristiwa rusuhan kaum Mei 1969. Untuk meminjam ungkapan Dr. Mohd Ridhuan Tee, mereka adalah golongan yang dapat dianggap sebagai 'ultra kiasu'.
Golongan yang kedua ialah pihak yang tidak tahu berterima kasih setelah menikmati pelbagai manfaat daripada DEB itu. Saya cenderung untuk menggelarkan golongan kedua ini sebagai 'Si Tenggang' zaman moden.
Mereka adalah ibarat 'si kudung dapat cincin' dan cuba hendak 'berlagak liberal', mengkritik dan mengutuk DEB tanpa memahami latar belakang sejarah dan tanpa menyedari dia telah 'menggigit tangan' orang yang memberinya makan.
Oleh kerana itu kita tidak semestinya terlalu defensive atau apologitic mengenai DEB bila berhadapan dengan tohmahan-tohmahan dan sikap munafik masing-masing golongan tersebut.
Jika dikaji dari awal tohmahan dan usaha-usaha menggagalkan DEB itu yang sebenarnya telah bermula semenjak peringkat penggubalannya lagi, tidak lama selepas peristiwa rusuhan kaum Mei 1969. Kritikan-kritikan yang sihat dan jahat berlanjutan selama DEB dilaksanakan antara 1970-1990.
Di peringkat awalnya kritikan-kritikan dilakukan secara sopan dan beradab sama ada menggunakan alasan-alasan akademik atau alasan-alasan intelektual.
Kritikan-kritikan sihat bolehlah dianggap bertujuan mempastikan supaya pelaksanaannya menepati matlamat yang dituju yang dirumuskan dengan ungkapan "Serampang Dua Mata: Mambasmi Kemiskinan dan Menyusun Semula Masyarakat".
Manakala kritikan-kritikan jahat dan berniat serong yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini didorong oleh keinginan untuk meraih keuntungan politik jangka pendek atau hendak mengekalkan status quo kedudukan sosio-ekonomi pra-Mei 1969.
Kritikan jahat yang berniat serong ini semakin menjadi-jadi selepas pilihan raya umum 2008 yang lalu, apa lagi dengan kemunculan kumpulan 'Si Tenggang' zaman moden tersebut.
Agar kita tidak terpedaya dengan tohmahan-tohmahan dan niat serong tersebut, asal usul penggubalan dan proses pelaksanaan DEB itu perlulah diketahui dan difahami dengan saksama, berdasarkan fakta-fakta sejarah dan huraian-huraian dan analisis yang objektif.
Untuk itu saya mencadangkan supaya kita membaca kembali sebuah buku penting tentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) itu yang berjudul "Dasar Ekonomi Baru: Pertumbuhan Negara dan Pencapaian Ekonomi Orang Melayu" atau edisi asalnya dalam bahasa Inggeris yang bertajuk Growth and Ethnic Inequality: Malaysia's New Economic Politcy, diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributros Sdn Bhd (UP&D) pada tahun 2003.
Penulis utama buku itu ialah seorang pakar ekonomi antarabangsa warganegara Norway yang terdidik di Oxford University yang bernama Just Faaland dan mendapat gelaran kehormat Tan Sri serta gelaran kehormat akademik 'Doctor Honoris Causa' dari Universiti Malaya. Turut menjadi penulis bersama ialah dua orang pakar ekonomi: Profesor Emeritus dari University of Nottingham, Dr. Jack Parkinson dan Datuk Dr. Rais Saniman, seorang pakar ekonomi Malaysia yang bertugas sebagai Research Associate di Chr. Michelsen Instsitute (CMI), Norway.
Saya sendiri berpendapat bahawa buku itu adalah satu huraian yang bernas dan jitu untuk menjawab pelbagai tohmahan yang sejak akhir-akhir ini semakin ghairah dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu terhadap DEB. Buku itu bukan sahaja lengkap dengan statistik sosio-ekonomi dan data sejarah yang relevan, malah lebih daripada itu mengandungi analisis yang objektif tentang keperluan mewujudkan satu masyarakat yang adil dan seimbang dalam usaha pembentukan sebuah negara bangsa yang bersatu padu.
Dan yang lebih menarik lagi buku tersebut juga telah mengesan 'perdebatan awal' tentang DEB yang mendapat penentangan awal dari pelbagai pihak sama ada daripada kalangan pegawai-pegawai kerajaan dan perkhidmatan awam mahu pun kalangan parti-parti politik pemerintah apatah lagi daripada parti pembangkang.
Sehubungan itu, dijelaskan bahawa sewaktu DEB itu hendak digubal tak lama selepas rusuhan kaum Mei 1969, di kalangan pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan penggubal dasar, terdapat dua aliran dan pendekatan yang bertentangan.
Aliran pertama tertumpu di Unit Perancangan Ekonomi atau singkatan bahasa Inggerisnya EPU (Economic Planning Unit). Secara am EPU ini mahu supaya dalam merancang pembangunan ekonomi, aspek pertumbuhan hendaklah diberi keutamaan yang tertinggi mengatasi keutamaan-keutamaan yang lain. Aliran ini dirujuk dengan panggilan "propertumbuhan semata-mata".
Aliran yang satu lagi berpusat di Jabatan Perpaduan Negara atau singkatan bahasa Inggerisnya DNU (Department of National Unity) berpendapat bahawa pertumbuhan ekonomi mestilah seiring dengan pengagihan dan kerana itu aliran ini dirujuk sebagai 'pro pertumbuhan dengan pengagihan'.
Demikianlah berlaku pertentangan antara Aliran DNU dengan Aliran EPU. Faaland dan rakan-rakan penulisnya berhujah bahawa pendekatan Aliran DNU yang "propertumbuhan dengan pengagihan" itu akan mempercepat penambahbaikan kedudukan ekonomi orang Melayu. Manakala pendekatan Aliran EPU yang "propertumbuhan semata-mata" itu akan menyebabkan ekonomi bangsa Melayu berada di takuk lama. Ertinya akan mengekalkan status quo kedudukan sosio ekonomi antara kaum pra-Mei 1969.
Begitulah huraian Faaland mengenai "pertentangan dan persaingan" pendapat yang berlaku dalam jabatan atau pentadbiran kerajaan. Sudah tentu pertentangan di kalangan masyarakat awam tidak kurang hebatnya. Umumnya, bukan Melayu menolak DEB, orang Melayu pula menyokongnya. Bukan Melayu mendesak pemansuhannya.
Jika DEB diteruskan, kata mereka, ia hendaklah diubah suai supaya mencakupi dasar-dasar untuk memastikan perwakilan bukan Melayu ditingkatkan dalam institusi-institusi yang pada masa itu didominasi oleh orang Melayu, termasuk perkhidmatan awam, pertahanan dan angkatan polis, penempatan tanah dan lain-lain.
Seterusnya dicatatkan oleh Faaland bahawa sudah menjadi kebiasaan bahawa DAP akan memulakan serangan terbuka dengan bahasa yang keras ke atas DEB, diikuti oleh MCA (dengan bahasa berlapik dan helah-helah halus) dan seterusnya oleh Gerakan. Semuanya itu dilakukan dengan penyelarasan yang baik , sama ada dengan sengaja atau sebaliknya.
Akibat daripada serangan bertubi-tubi, baik dari segi politik mahu pun intelektual, berlakulah beberapa pengunduran ketara dalam tahun-tahun separuh akhir DEB di beberapa lapangan utama, seperti Akta Penyelarasan Perindustrian (ICA) dan Kanun Tanah Negara.
Demikianlah peristiwa dan pengalaman Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang patut diketahui dan difahami untuk dijadikan iktibar oleh orang Melayu yang hendak berbincang dan berhujah serta menuntut atau memberi input terhadap Model Ekonomi Baru (MEB) yang sedang dalam proses penggubalannya.
Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment