Saturday, April 24, 2010

TPM sokong elaun Rela naik

HULU SELANGOR 23 April – Kerajaan kini dalam peringkat akhir untuk menaikkan elaun anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dari RM4 kepada RM6 untuk tempoh satu jam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu telah pun dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Jumlah kadar elaun yang akan dibayar kepada anggota Rela yang aktif masih dalam pertimbangan tetapi saya akan sokong,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan anggota Rela di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bahru di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni.

Menurut beliau, pertimbangan itu juga melibatkan kenaikan elaun bagi ketua-ketua platun dari RM5.80 kepada RM7.80 satu jam.

Terdahulu dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju menaikkan elaun motosikal sebanyak RM150 sebulan kepada anggota Rela yang menjadi Sukarelawan Polis dan berkhidmat di kawasan-kawasan panas.

“Kerajaan akan terus membela nasib anggota Rela kerana kita sedar sumbangan pasukan ini begitu besar terhadap negara,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin meluluskan peruntukan RM80,000 kepada Rela bagi melicinkan operasi bantuan bencana alam dan juga untuk penganjuran hari keluarga pasukan tersebut.

Pada masa yang sama juga, beliau turut meluluskan RM45,000 bagi kegunaan pasukan Rela di Hulu Selangor.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihaknya akan menjadikan Rela sebagai satu gelombang baru yang bakal terbabit sama mencorakkan perubahan landskap politik, ekonomi dan sosial negara.

Katanya, gelombang baru itu akan dilahirkan melalui semangat kesukarelawan yang mantap agar pasukan tersebut mampu berada sebaris dengan agensi lain dalam memperkasakan negara.

“Kita menyasarkan menjelang 2012, Rela mempunyai keanggotaan berjumlah 2.5 juta yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Buat masa ini, kekuatan anggota Rela ialah sebanyak 1.2 juta dan jumlah itu jauh lebih ramai berbanding keanggotaan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelasnya.

Utusan Malaysia Online

No comments: