Tuesday, April 27, 2010

Kerajaan tanggung kos RM10b setahun

PUTRAJAYA 26 April - Kerajaan dianggarkan terpaksa menanggung kos sebanyak RM10 bilion setahun atau satu hingga dua peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jika berlaku amalan rasuah di negara ini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, perkara itu terjadi jika keputusan perniagaan seperti pemberian kontrak, perolehan dan sebagainya dilakukan dengan tujuan yang tidak betul.

"Gejala rasuah yang dikatakan banyak berlaku di kalangan agensi penguatkuasaan merupakan suatu yang salah dan menjijikkan yang telah memberi imej buruk kepada perkhidmatan awam.

"Ia hendaklah dihentikan sama sekali bagi merealisasikan perkhidmatan awam yang cekap, berkesan dan berintegriti dan ini akan menyumbang kepada pemantapan daya saing negara di persada antarabangsa," katanya.

Beliau berucap merasmikan Kempen Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Mohd. Sidek memberitahu, keberkesanan usaha memerangi amalan rasuah itu banyak bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua ketua jabatan termasuk agensi penguatkuasaan yang ada.

"Selaku Pengerusi Pasukan Petugas Mengkaji Laporan Ketua Audit Negara Bagi Tahun 2008, saya perhatikan kita lazimnya sangat bertimbang rasa.

"Kita lebih suka memberi peluang atau tidak suka mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang didapati cuai atau sengaja melanggar peraturan dan prosedur dalam pengurusan wang awam.

"Ketua-ketua di peringkat kementerian, jabatan dan kerajaan negeri lebih cenderung memberi maklum balas bahawa tiada tindakan yang boleh diambil kerana ia dibuat di luar bidang kuasa pegawai-pegawai," katanya.

Mengenai kempen tersebut beliau berkata, ia memberi satu petunjuk atau sebagai amaran kepada masyarakat bahawa anggota perkhidmatan awam tidak mudah disogok dengan rasuah.

"Ini bermakna kita perlu sentiasa memastikan atau memeriksa diri kita sesama sendiri agar tidak terlibat dengan rasuah.

"Ini akan memberikan mesej penting bahawa agensi penguatkuasaan tidak boleh dan tidak mudah untuk digula-gulakan dengan wang ringgit bagi melepaskan pesalah yang telah melanggar undang-undang," katanya.

Utusan Malaysia Online

No comments: