PUTRAJAYA 22 Nov. - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenal pasti sejumlah 6,133 penjawat awam bermasalah sepanjang tahun lalu, meningkat lebih 700 orang berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, ia membabitkan tiga masalah utama iaitu disiplin, prestasi rendah dan kesihatan kronik.
"Selain itu, ia turut membabitkan masalah hubungan interpersonal dan psikologi di kalangan penjawat awam tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam 2010 di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Dr. Aris Kasan.
Pada majlis itu, seramai 3,583 orang yang merangkumi 16 kementerian, enam jabatan, lima Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan 11 agensi termasuk badan berkanun serta korporat menerima pentauliahan tersebut.
Sehubungan itu, Abu Bakar berkata, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) boleh memainkan peranan yang penting dalam membentuk perkhidmatan awam yang berdisiplin dan berintergriti.
"Rakan pembimbing perlu mempamerkan diri mereka sebagai contoh kepada rakan sekerja yang lain dengan mengamalkan nilai-nilai positif dan menunjukkan tingkah laku yang boleh dicontohi.
"Perlu diingatkan bahawa rakan pembimbing diwujudkan atas semangat 'rakan membantu rakan' dengan memupuk semangat berpasukan, keakraban, keharmonian dan saling menghormati potensi diri masing-masing," katanya.
Dalam ucapan yang sama, beliau mencadangkan agar Bahagian Pengurusan Psikologi mengembangkan lagi peranan Akrab kepada pengamalan Buddy System.
Ini kerana, tambah beliau, sistem itu bukan hanya membantu rakan dalam menangani masalah tertentu tetapi sentiasa mengambil tahu dan mengikuti perkembangan rakan terbabit yang berkaitan dengan pekerjaan dan hal-hal peribadi.
"Ia sejajar dengan fitrah manusia yang sentiasa mahu diri disayangi dan dihargai, justeru konsep ini sememangnya terdapat dalam sistem itu," katanya.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment