Saturday, November 27, 2010

Skim perkhidmatan kumpulan paramedik dikaji semula

KOTA KINABALU 27 Nov. – Kementerian Kesihatan bercadang untuk mengkaji semula skim perkhidmatan kumpulan paramedik seperti pembantu pembedahan pergigian dan pembantu perawatan kesihatan, pada tahun depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, selain itu, turut dikaji ialah pewujudan insentif bagi menarik minat anggota kementerian tersebut berkhidmat dengan klinik bergerak 1Malaysia, yang dijangka dilancarkan 9 Disember ini.

Bagaimanapun, penetapan gaji untuk penjawat awam yang bertugas di kementerian itu adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pengerusi DAP Sabah, Dr Hiew King Che, yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu semalam, yang meminta Kementerian Kesihatan mengkaji semula gaji penjawat awam di kementerian itu.

Rosnah berkata, pada tahun ini sahaja, lima kajian penambahbaikan skim perkhidmatan telah dipersetujui kerajaan, termasuk jawatan bidan ditawarkan ke skim perkhidmatan jururawat masyarakat dan pembantu hospital rendah ke skim perkhidmatan pembantu tadbir (perkeranian/operasi).

Bernama Online

No comments: