Friday, November 12, 2010

Kakitangan awam perlu budaya kerja kreatif

IPOH 11 Nov. - Kakitangan awam di negeri ini diminta mengubah budaya kerja yang diamalkan selama ini kepada lebih kreatif dan inovatif.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim berkata, budaya kerja baru perlu demi menjamin kecemerlangan perkhidmatan awam dan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, dalam era globalisasi sekarang, perkhidmatan awam tidak lagi boleh mengekalkan sistem sedia ada iaitu melaksanakan tugas-tugas rutin yang hanya menekankan kepada konsep kepuasan pelanggan semata-mata.

''Sebaliknya, anggota perkhidmatan awam perlu sentiasa kreatif dan inovatif dalam menangani cabaran-cabaran masa kini dan akan datang.

''Perkhidmatan awam memerlukan anggota yang berkeupayaan untuk berfikiran di luar kotak, mampu menjangka dan mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi," katanya.

Beliau berucap merasmikan sambutan Hari Inovasi Perkhidmatan Awam peringkat negeri bertemakan 'Inovasi Merealisasikan Transformasi' di Dewan Bankuet, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, jika kakitangan awam terus kekal dengan sistem sedia ada, negara akan tertinggal jauh di belakang kerana tidak mampu bersaing dengan negara-negara lain.

''Jika perkhidmatan awam atau agensi kerajaan tidak mampu menangani cabaran, ia boleh menyebabkan kewujudannya tidak lagi relevan," katanya.

Berdasarkan amalan semasa, jelas beliau, setiap jabatan menyediakan mekanisme untuk pelanggan mengemukakan cadangan dan aduan sebelum meneliti keperluan serta kesesuaian dan seterusnya melaksanakan penambahbaikan.

''Kita digalakkan untuk mendapatkan idea-idea baru daripada pelbagai sumber kerana amalan berbentuk penyediaan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan semasa pelanggan hanyalah bersifat sementara," katanya.

Menurut Abdul Rahman, perkhidmatan awam sebenarnya boleh mengurangkan kebergantungan kepada input pelanggan.

Malah, setiap kakitangan juga perlu menyedari bahawa perkhidmatan awam merupakan agen perubahan dan keupayaan untuk membuat perubahan hanya boleh dilaksanakan menerusi pemikiran yang kreatif dan inovatif.

''Keupayaan memperkenalkan dan melaksanakan idea-idea baru tidak membawa sebarang manfaat sekiranya anggota perkhidmatan awam tidak memiliki nilai-nilai integriti yang tinggi.

''Keperibadian mulia itu termasuk bersifat amanah, rajin, bertanggungjawab, menepati masa, berdisiplin dan sifat-sifat positif dalam diri seseorang individu," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rahman berharap semua ketua jabatan melaksanakan program-program integriti secara dalaman termasuk melaksanakan tindakan tata tertib kepada kakitangan yang melanggar peraturan kerajaan.

Sementara itu, Pusat Penyelidikan Mineral di Jabatan Mineral dan Geo-Sains diumumkan sebagai penerima Anugerah Inovasi tahun ini.

Pusat penyelidikan itu menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500, sijil dan plak.

Utusan Malaysia Online

No comments: