Wednesday, November 24, 2010

PPANS perhebat aktiviti membaca

SEREMBAN 23 Nov. - Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) mengatur pelbagai aktiviti sepanjang musim cuti persekolahan bagi dimanfaatkan orang ramai, khususnya golongan pelajar dan kanak-kanak.

Pemangku Pengarah PPANS, Jamilah Katis berkata, sepanjang cuti persekolahan bermula pada 20 November lalu, pihaknya menerima kehadiran memberansangkan daripada orang ramai untuk menggunakan pelbagai kemudahan.

''Kita menyediakan banyak perkhidmatan, sudut akhbar dan majalah, bahan rujukan selain penggunaan Internet secara percuma," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, orang ramai juga boleh melayari lamab web PPANS, http://www.nslibrary.gov.my. untuk mengetahui perkembangan dan aktiviti yang dijalankan dari semasa ke semasa.

''Pihak perpustakaan juga mengadakan aktiviti yang menyeronokkan dan mampu menguji minda selain menambah ilmu pengetahuan.

''Banyak yang kita rancang untuk menggalakkan kanak-kanak dan remaja menghabiskan masa di tempat-tempat yang berfaedah seperti perpustakaan," ujarnya.

Jelas Jamilah, di samping dapat mengelakkan pelbagai masalah sosial, golongan pelajar dan remaja dapat membina sahsiah diri melalui aktiviti berilmu.

''Banyak membaca akan membuka minda, bijak dalam membuat keputusan dan berfikiran kreatif," kata Jamilah.

Tambahnya, dalam usaha meningkatkan budaya membaca, PPANS membuka perkhidmatannya setiap hari Sabtu dan Ahad bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Utusan Malaysia Online

No comments: