Wednesday, November 24, 2010

Latihan Wataniah dalam kursus PTD

PUTRAJAYA 23 Nov. - Semua Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) lantikan baru akan diwajibkan menjalani latihan Askar Wataniah bermula pengambilan November ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah berkata, latihan itu akan diperkenalkan sebagai salah satu kurikulum Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Menurutnya, selain modul latihannya sendiri, Intan akan turut menerapkan modul kursus perkhidmatan berpakaian seragam lain seperti Bomba dan Penyelamat di samping Polis Diraja Malaysia.

Jelas beliau, tempoh kursus selama enam bulan tidak akan dirombak kerana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyifatkan ia mencukupi untuk membina jati diri PTD yang baru memasuki perkhidmatan kerajaan.

''Askar Wataniah berbeza daripada badan-badan sukarela lain dan merupakan angkatan simpanan Tentera Darat sebagai benteng kedua dalam mempertahankan negara, kajian juga menunjukkan kakitangan awam berminat menyertai pasukan berorientasikan sukarela.

''Warga JPA yang layak menyertai Askar Wataniah akan dapat menikmati pelbagai keistimewaan yang disediakan oleh pihak ATM seperti peluang lawatan, tuntutan elaun, sagu hati tahunan (bounti) dan uniform," katanya pada majlis pelancaran pasukan sukarela itu di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kursus tersebut, beliau berkata, penekanan terhadap latihan Askar Wataniah berkait rapat dengan elemen patriotisme, ketahanan psikologi, keutuhan disiplin dan jasmani yang cergas sesuai untuk diikuti oleh kakitangan awam bagi membantu transformasi negara ke arah mencapai Wawasan 2020.

Katanya, program latihan Askar Wataniah itu kelak akan diperluaskan ke kementerian lain secara berperingkat-peringkat.

Abu Bakar berkata, Unit Askar Wataniah JPA akan bekerjasama dengan Bahagian Pasukan Simpanan Tentera Darat Angkatan Tentera Malaysia serta bertanggungjawab memantau keahlian serta modul latihan di kalangan warga JPA.

Menurutnya, penyertaan pegawai awam dalam Askar Wataniah bukan sesuatu yang baru kerana Kementerian Pertahanan memulakan inisiatif itu kepada warganya sejak tahun lalu.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, JPA akan menubuhkan satu unit khas di bawah sektor pentadbiran, Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) untuk memberi tumpuan khusus kepada penyertaan warga JPA dalam Askar Wataniah.

Difahamkan, Rejimen 515 akan memantau latihan warga JPA di Putrajaya, Cyberjaya, Bangunan Sapura, Mines dan Bukit Kiara setiap minggu sehingga mereka layak ditauliahkan sebagai Askar Wataniah oleh Yang di-Pertuan Agong.

Utusan Malaysia Online

No comments: