PUTRAJAYA 2 Nov. - Jabatan Imigresen yang 'hangat' dengan perilaku rasuah segelintir pegawainya, ketika ini sedang membangunkan satu sistem integrasi perkhidmatan online dikenali My Imigresen (MyIM) dipercayai mampu mengekang gejala itu bersarang dalam agensi tersebut.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad (gambar) berkata, MyIM yang akan dilancarkan pada Mac depan membolehkan segala urusan membabitkan agensi itu tidak lagi menerusi kaunter.
Menurutnya, ini meliputi urusan membuat pasport, proses pendaftaran pembantu rumah sehinggalah kemasukan warga negara asing.
"Sistem ini secara tidak langsung memberi penjimatan masa kepada pelanggan berurusan di kaunter serta mengurangkan pertemuan para pegawai imigresen dengan orang awam.
"Dengan mengurangkan pertemuan pegawai dengan pelanggan, ia boleh mengurangkan kebarangkalian berlakunya rasuah setiap kali menjalankan urusan berkaitan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Alias yang pertama kali memberi temu ramah kepada media berkata, sistem integrasi yang juga bertindak sebagai pangkalan data itu akan berfungsi menyimpan senarai mereka yang keluar masuk ke dalam negara termasuk warga asing.
Sehubungan itu, kata beliau, sistem tersebut diyakini membolehkan imigresen memantau pertukaran status warga asing yang berada di dalam negara ini memandangkan golongan itu didapati sering bertukar status.
"Sebelum ini agak sukar untuk mengenal pasti status warga asing yang ketika mula-mula masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.
"Dan selepas menjejakkan kaki di sini, mereka bertukar pula kepada status pas pekerja," katanya.
Beliau menambah, menerusi sistem itu nanti, ia secara tidak langsung memantau proses pertukaran secara sesuka hati sekali gus mengelakkan berlakunya penyelewengan.
Menurutnya, sistem integrasi itu bukan sahaja memudahkan urusan orang ramai malah akan menjadikan proses pengurusan dokumen oleh pihak imigresen lebih sistematik, mudah dan berkesan.
Mengenai penambahan program baru, beliau berkata, jabatan itu tidak pernah menolak pelaksanaan program inovasi termasuk menggunakan sistem, program dan peralatan berteknologi terkini dalam proses menambah baik perkhidmatan.
"Penambahbaikan penting bagi membolehkan Jabatan Imigresen tidak ketinggalan dengan perkembangan global terutama perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan jabatan itu di seluruh dunia.
"Ini penting dalam menyokong transformasi imej imigresen kepada sebuah jabatan yang lebih hebat selari dengan perkembangan dasar kerajaan ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi," katanya.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment