Wednesday, November 24, 2010

Ibrahim KSU baru Kem. Kemajuan Luar Bandar

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Muhamad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkuatkuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan berkata, Ibrahim menggantikan Datuk Abdul Jabar Che Nai yang bersara wajib selepas mencapai umur 58 tahun semalam.

“Bagi pihak Perkhidmatan Awam Malaysia, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Abdul Jabar di atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada Perkhidmatan Awam dan negara selama 34 tahun, terutama di sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ibrahim, 56, berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Dubuque, Iowa, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dari Universiti Malaya.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Nov 1978 dan berpengalaman dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan serta perancangan pembangunan.

Karier perkhidmatannya bermula sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Kontrak dan Bekalan, Kementerian Kewangan pada tahun 1978.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Taiwan dari tahun 1991 hingga 1993 sebelum dilantik Pengarah Perdagangan Luar Malaysia, di negara itu dari 1994 hingga 1999.

Dari tahun 1999, beliau menjadi Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Industri, Unit Perancang Ekonomi sebelum berpindah ke Kementerian Pertanian sebagai Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Perancangan Makro dan Strategik pada 2000. Ibrahim kemudiannya menjawat jawatan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dari 2002 dan seterusnya sebagai Setiausaha Bahagian, Bahagian Pemantauan dan Penilaian Projek di Kementerian Pertanian dari tahun 2003.

Bernama Online

No comments: