Friday, November 12, 2010

Kajian semula Bantuan Sara Hidup berdasar kemampuan

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada tulisan bertajuk CUEPACS Mohon Selaras Kadar COLA yang disiarkan di ruangan ini pada 2 November 2010.

Bantuan Sara Hidup (BSH) diberi bertujuan untuk menjaga kesejahteraan dan kebajikan penjawat awam berikutan peningkatan kos sara hidup. Elemen yang diambil kira dalam penetapan BSH bukan sahaja melibatkan kos makanan tetapi turut mengambil kira perbelanjaan utama yang lain iaitu perumahan, pengangkutan, bayaran tol, minyak dan sebagainya.

Kadar BSH ketika ini dibayar mengikut kawasan berdasarkan definisi sempadan perbandaran/ status Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkuatkuasa 1 Januari 2006. Ia perlu memenuhi kriteria tertentu berdasarkan Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah (Household Expenditure Survevy (HES) yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia setiap lima tahun. Laporan HES bagi tahun 2004/2005 jelas menunjukkan bahawa perbelanjaan di kawasan bandar adalah jauh lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar.

Kadar BSH telah ditetapkan mengikut prinsip berdasarkan Laporan HES Tahun 2004/2005 dan jabatan ini berpendirian bahawa prinsip dan kadar BSH sedia ada perlu dikekalkan. Kadar BSH telah dinaikkan pada 1 Julai 2007.

Bagaimanapun, pendapatan kadar BSH akan dikaji semula setelah Laporan HES bagi tahun 2009/2010 diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dan berdasarkan keperluan dan kemampuan kerajaan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.


Utusan Malaysia Online

No comments: