Tuesday, July 5, 2011

Baharui jentera pentadbiran

Oleh HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 5 Julai - Pelaksanaan transformasi total di Kementerian Pelajaran perlu bermula dengan pembaharuan dalam jentera pentadbirannya sendiri yang sebelum ini bersifat 'atas ke bawah' kepada gabungan jalinan dari semua peringkat jawatan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ini supaya idea baru yang boleh memberikan nilai tambah atau manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Fokus kita bukan lagi hanya kepada menyelesaikan sesuatu tugasan yang diarahkan tetapi seharusnya memikirkan 'apa yang boleh kita lakukan bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan apa yang mereka perlukan apabila berurusan dengan kita.
"Oleh itu, warga kementerian perlu mempersiapkan diri untuk menjadi penjawat awam yang mempunyai kepelbagaian kemahiran dan serba boleh bagi menjayakan transformasi kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelajaran 2010 di sini hari ini.

Seramai 417 warga Kementerian Pelajaran daripada pelbagai peringkat jawatan terpilih untuk menerima penghargaan atas kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang tahun lalu.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, ketua jabatan dan agensi perlu memberi perhatian kepada usaha meningkatkan potensi dan kompetensi kakitangan masing-masing supaya selari dengan perubahan persekitaran yang dinamik.

"Pelaburan dalam penyediaan kemudahan dan infrastruktur yang sesuai dari segi lokasi yang kondusif, kurikulum kursus yang berkesan dan tenaga pengajar yang mahir dapat melahirkan warga kerja yang sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.

''Malah, pelaksanaan dan perubahan itu juga hendaklah sehingga ke peringkat institusi sekolah kerana saya percaya ini akan secara terus memberikan impak besar kepada proses pembelajaran dan kemenjadian murid dalam jangka masa terdekat ini," katanya.


Utusan Online

No comments: