MERUJUK surat oleh 'graduan kolej jururawat menganggur' yang disiarkan dalam ruangan ini pada 28 Jun lalu. Kerjaya kejururawatan sememangnya diminati lepasan sekolah kerana peluang mendapat pekerjaan amat cerah dan luas kerana keperluan mereka meliputi sektor kerajaan dan swasta.
Pihak kami melihat kerjaya ini berdaya saing kerana peluang untuk peningkatan ke tahap yang lebih tinggi dan luas. Ketika ini belum ada kajian terperinci berkenaan dengan jururawat yang tidak memperoleh pekerjaan. Bagaimanapun, jururawat yang lulus peperiksaan dan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) serta memperoleh pekerjaan dapat diketahui melalui statistik jururawat yang memohon Sijil Amalan Tahunan (APC) setiap tahun. APC ini wajib dipohon melalui majikan dan statistik menunjukkan peningkatan pada setiap tahun. Terdapat dua cara memohon jawatan jururawat iaitu melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi mereka yang ingin berkhidmat dengan perkhidmatan awam. Manakala mereka yang ingin berkhidmat di sektor swasta, boleh terus memohon di hospital swasta.
LJM menyarankan agar graduan kejururawatan mempersiapkan diri dari segi ketrampilan dan ilmu pengetahuan apabila menghadiri sesi temu duga.
LJM sebagai badan profesional sentiasa berusaha dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan latihan dan perkhidmatan kejururawatan menepati piawaian kejururawatan di negara ini agar ia setaraf dengan negara maju. Adalah menjadi aspirasi LJM, jururawat yang dikeluarkan oleh kolej jururawat di negara ini adalah jururawat berpengetahuan, kompeten dan berkemahiran.
PENGARAH KEJURURAWATAN MALAYSIA, Putrajaya.
Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment