Wednesday, July 6, 2011

Nilai khidmat anggota polis

Oleh Kamarulzaidi Kamis, Syuhada Choo Abdullah, Ahmad Farizal Hajat dan Shahrizan Salian
bhnews@bharian.com.my


Orang ramai boleh beri rating guna peranti elektronik, hantar SMS

KUALA LUMPUR: Mulai Isnin ini, orang ramai boleh menilai perkhidmatan anggota polis yang bertugas di kaunter di 92 balai polis seluruh Selangor melalui inisiatif terbaru kerajaan memperkenalkan pemantauan prestasi masa sebenar untuk meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam. Melalui projek perintis itu, orang ramai yang berurusan di balai polis terbabit boleh menilai anggota polis dengan memberi rating antara satu (amat lemah) hingga empat (cemerlang) menggunakan peranti elektronik yang disediakan di balai itu atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip RATE <1-4> Rating dan hantar kepada 15888. Ia adalah antara Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) untuk Penyampaian Perkhidmatan Awam, bertujuan meningkatkan keberkesanan serta kecekapan perkhidmatan kerajaan berkaitan perniagaan dan awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata hasil maklum balas awam terhadap kualiti perkhidmatan anggota polis akan membolehkan kerajaan mengambil langkah penambahbaikan atau mengatasi sebarang kelemahan yang dikesan.

“Maklum balas orang ramai mesti disusuli dengan usaha pembetulan sewajarnya supaya kita dapat memperbaiki kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam.
“Rating orang ramai terhadap anggota polis bagaimanapun tidak akan didedahkan kepada umum. Data diterima akan dikumpul setiap minggu dan anggota yang menerima banyak penarafan negatif akan dihantar untuk latihan semula.
“Kita akan meneliti kemajuan projek ini sehingga tiga bulan. Jika berjaya mencapai matlamat ia akan diperluaskan ke perkhidmatan lain seperti Jabatan Imigresen, hospital awam, teksi dan bas,” kata Idris yang juga Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).

Sambil menjelaskan projek perintis itu dilakukan secara sukarela oleh polis Selangor, Idris berkata, kejayaan projek berkenaan memerlukan sokongan dan penyertaan orang ramai.

INFO: SMS untuk nilai khidmat polis
Taip RATE <1-4> Rating dan hantar kepada 15888

Berita Harian Online

No comments: