Friday, July 1, 2011

Hari Berbasikal bakal diperkenalkan di Melaka

MELAKA 1 Julai - Hari Berbasikal akan diperkenalkan di negeri ini bagi mengalakkan kempen agar seluruh rakyat mengamalkan budaya berbasikal setiap minggu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, cadangan memperkenalkan Hari Berbasikal adalah salah satu usaha untuk mempromosikan negeri ini sebagai Negeri Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020.

Bagi tujuan tersebut, beliau meminta kerjasama daripada orang ramai untuk mencadangkan kawasan dan hari yang sesuai bagi merealisasikan cadangan tersebut.
Menurutnya, maklumat daripada orang ramai amat penting untuk kerajaan negeri mengisytiharkan kawasan bebas kenderaan bagi membolehkan aktiviti berbasikal beroperasi di kawasan terbabit.

''Hari Berbasikal akan diadakan sekali seminggu di mana seluruh masyarakat boleh berbasikal dari pagi hingga tengahari sama ada dari pagi hingga petang.
''Kawasan yang perlu dicadangkan pula perlu mengambil kira ia bukan menjadi laluan utama kenderaan masuk ke bandar raya ataupun boleh menghalang aktiviti harian penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai barisan Exco, ketua-ketua jabatan dan kakitangan kerajaan memulakan kempen berbasikal di sini hari ini.
Sambil berpakaian baju Melayu, Mohd. Ali disertai kira-kira 50 orang termasuk ahli kelab Basikal Tua Melaka mengiringi beliau mengayuh basikal dari kediaman rasminya di Seri Bendahara ke pejabat di Seri Negeri.

Mengulas lanjut Mohd. Ali berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan cadangan tersebut boleh menghubungi pusat nombor panggilan setempat (ONCC) menerusi talian 06-3333333 dan nombor tersebut boleh digunakan untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sementara itu beliau berkata, aktiviti berbasikal melibatkan Exco, ketua-ketua jabatan dan kakitangan kerajaan negeri ke pejabat akan diadakan setiap Jumaat


Utusan Online

No comments: