Tuesday, July 5, 2011

Penilaian terbuka orang ramai terhadap prestasi polis Selangor mulai 11 Julai

KUALA LUMPUR 5 Julai - Mulai Isnin depan, orang ramai yang berurusan dengan pihak polis di 92 balai polis di seluruh Selangor, berpeluang untuk membuat penilaian terbuka terhadap prestasi kerja dan sikap anggota semasa menerima aduan daripada masyarakat.

Ini kerana, semua 92 balai polis tersebut akan dilengkapi dengan satu mekanisme pengukur prestasi setiap anggota polis yang berurusan dengan orang ramai, selain penilaian juga boleh dibuat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke talian 15888.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala ketika mengumumkan perkara itu berkata, mekanisme pengukur pretasi tersebut mempunyai nombor antara satu hingga 10 dan markah akan diberi oleh orang ramai berdasarkan 'rating' berkenaan.
Katanya, idea mengenai mekanisme tersebut dibuat Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), sebagai sebahagian pelan transformasi dalam Penyampaian Perkhidmatan Awam, iaitu salah satu elemen dalam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI).

"Orang ramai khususnya mereka yang membuat laporan polis mengenai sesuatu kejadian boleh memberi penilaian terus secara terbuka, sama ada mereka berpuas hati atau tidak dengan layanan dan perkhidmatan yang diberi oleh anggota.

"Tetapi jika mereka tidak berkeyakinan untuk memberi penilaian terus sebaik sahaja laporan polis dibuat, orang ramai boleh membuat penilaian tersebut menerusi SMS," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman enam inisiatif SRI, di sini hari ini.

Menurut beliau, data penilaian orang ramai itu akan dipantau pegawai polis yang dilantik khas, manakala maklum balas menerusi SMS pula akan dikumpul oleh badan berkecuali sebelum analisis mingguan dibuat pihak Pemandu.

Jelasnya, jika analisis menunjukkan prestasi anggota polis tidak mencapai standard ditetapkan, anggota tersebut akan diberi kaunseling serta latihan dengan segera dan bagi mereka yang menunjukkan komitmen terbaik bakal diberi ganjaran.

Dalam pada itu, Idris yang juga Ketua Eksekutif Pemandu berkata, pihaknya bercadang untuk memperluaskan mekanisme penilaian tersebut kepada beberapa sektor perkhidmatan lain antaranya imigresen, kastam, hospital kerajaan dan teksi.

Bagaimanapun beliau memberitahu, cadangan itu bergantung kepada maklum balas orang ramai terhadap projek perintis membabitkan 92 balai polis, kerana data penilaian itu penting untuk Pemandu membuat perancangan pada masa depan.

"Kita memang berhasrat memperluaskan mekanisme ini tetapi ia bergantung kepada maklum balas. Kita memerlukan data itu bagi membolehkan sebarang penambahbaikan dibuat dengan segera sebelum ia diperluaskan," katanya.


Utusan Online

No comments: