Wednesday, July 6, 2011

Kaji semula kadar elaun warden asrama sekolah

SAYA ingin mencadangkan kepada pihak Kementerian Pelajaran dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya dapat mengkaji semula kadar elaun warden di asrama sekolah harian di Malaysia.

Mengikut makluman, sudah sekian lama kadar elaun ini tidak dinaikkan. Sebagai contoh kadar elaun warden masa kini ialah RM240 sebulan tetapi elaun Cola dan Elaun Perumahan tetap dipotong separuh daripada jumlah yang diterima sekiranya mendiami premis kerajaan.

Ini bermakna elaun seorang warden adalah sama dengan elaun seorang guru biasa yang bukan warden walhal tugas dan bebanan kerja adalah berbeza. Sekiranya warden tinggal di rumah yang sempurna seperti kuarters atau rumah khas di kawasan asrama, itu agak memadai.

Bagaimana pula warden yang terpaksa tinggal di asrama bersama-sama pelajar dengan sekatan diubah suai menjadi 'rumah' untuk keluarganya. Mungkin ada beranggapan tuntutan ini tidak relevan kerana tugas seorang warden lebih mulia berbanding dengan wang ringgit.

Tidak perlulah berkira sangat. Dari satu segi, sepatutnya begitu tetapi tuntutan dunia hari ini tidak lagi meletakkan taraf pengorbanan secara membabi buta. Segala-galanya perlu bergerak dengan wang sebagai pemudah bicara.

Ada juga warden terpaksa kekal lama di asrama sekolah tertentu kerana tidak dapat melepaskan jawatan mereka kerana tiada pengganti atau bahasa mudahnya guru lain tidak mahu menjadi warden. Saya ingin mencadangkan supaya perkara berikut diberi perhatian oleh pihak kementerian terbabit dan JPA;
1. Elaun warden dinaikkan daripada RM240 kepada RM400-RM500 sebulan.
2. Rumah atau kediaman warden mesti dinaikkan taraf supaya lebih sempurna dan selesa.
3. Elaun Cola atau Elaun Perumahan mesti dibayar penuh atau tidak perlu dipotong.
4. Jawatan warden boleh dijadikan jawatan hakiki atau yang setaraf.

Cadangan itu sekurang-kurangnya boleh memperbaiki beberapa kelemahan di asrama. Mungkin jawatan warden menjadi satu tarikan kepada lebih ramai terutamanya dalam kalangan guru di sekolah berkenaan.

PARAS DADA

Utusan Online

No comments: