Sunday, July 3, 2011

Jauhi perhimpunan haram: CUEPACS

MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta semua 1.2 juta penjawat awam tidak terbabit dalam perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata penjawat awam tertakluk pada Etika Perkhidmatan Awam dan Aku Janji dan dilarang menyertai sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh pertubuhan yang tidak berdaftar. "Jangan sesekali terbabit secara langsung bahkan jangan sesekali hadir untuk menonton (perhimpunan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan, Kesatuan Pekerja-pekerja Awam negeri Melaka kali ke-33 di Ayer Keroh, di sini hari ini. Katanya, perhimpunan haram itu hanya membuang masa dan tidak mempunyai faedah atau kepentingan kepada penjawat awam.

Beliau berkata, penjawat awam yang berdegil dan engkar untuk terus menghadiri perhimpunan itu, menangggung risiko sendiri tanpa pembelaan CEUPACS sekiranya mereka ditahan oleh pihak berkuasa.

BERNAMA

No comments: