Monday, July 4, 2011

Portal e-aduan tingkat mutu kerja

IPOH 4 Julai - Kerajaan yakin pelancaran portal e-Aduan dapat meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan ke tahap terbaik.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ia bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan aduan awam kerajaan negeri ke arah penambahbaikan pengurusan aduan awam.

Katanya, usaha itu diambil bagi memendekkan tempoh pengurusan aduan awam daripada 41 hari kepada 15 hari bekerja.

"Portal e-aduan ini yang dibangunkan itu untuk membantu Bahagian Korporat yang menerima aduan melalui Internet, e-mel, telefon dan faks daripada orang ramai.
"Maklumat yang diterima itu akan disalurkan secara elektronik kepada jabatan atau agensi kerajaan bagi tindakan susulan diambil," katanya di sini, hari ini.
Beliau berucap melancarkan Portal e-Aduan selepas perhimpunan bulanan dan Executive Talk kakitangan awam di Dewan Banquet, Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri di sini.

Katanya, portal e-Aduan boleh dilayari secara talian terus yang dipautkan dengan portal rasmi negeri Perak bagi memudahkan pengadu menghantar aduan.
Katanya lagi, pejabat SUK akan mengambil tindakan segera terhadap setiap aduan dan menghantar aduan secara talian terus kepada jabatan atau agensi terlibat untuk tindakan lanjut.

Katanya, setiap pengadu perlu memasukkan maklumat diri yang wajib bagi tujuan pengesahan aduan yang tulen iaitu nama, nombor kad pengenalan, alamat dan maklumat aduan.

Utusan Online

No comments: