Thursday, December 19, 2013

Azih Muda dipilih sebagai Presiden CUEPACS yang baharu

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE), Azih Muda dipilih sebagai Presiden baru Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk sesi 2013-2016.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden I CUEPACS berjaya menewaskan Presiden Kesatuan Kakitangan Kementerian Pertahanan (KESATRIA), Ahmad Shah Mohd Zain dengan kelebihan 390 undi.

Dalam pemilihan itu Azih mendapat 701 undi manakala Ahmad Shah memperoleh 311 undi.

Keputusan rasmi tersebut diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengiraan Undi, Borhan Mustafa pada Konvensyen Tritahunan CUEPACS ke-26 di sini hari ini.

Sebelum ini penyandang jawatan, Datuk Omar Osman, 62 telah mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan itu selepas memegangnya lebih tujuh tahun.

Bagi jawatan Setiausaha Agung pula Lok Yim Pheng berjaya mempertahankan jawatan yang disandangnya itu selepas memperoleh undi tertinggi berbanding dua pencabarnya yang lain iaitu sebanyak 604 undi.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: