Tuesday, December 17, 2013

BPA terima 46 aduan di Perlis

KANGAR 16 Dis. - Biro Pengaduan Awam (BPA) telah menerima sebanyak 46 aduan berkaitan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri dan kementerian atau agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan dari 1 Januari hingga 30 November tahun ini.

Pengerusi Hal-Ehwal Komunikasi Korporat dan Aduan Awam negeri, Datuk Mat Rawi Kassim memberitahu, daripada jumlah tersebut sebanyak 22 aduan adalah mengenai agensi-agensi di bawah kerajaan negeri manakala 24 lagi di bawah kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan.

"Antara aduan diperoleh BPA ialah menerusi laman web, panggilan telefon, program seperti aduan kaunter bergerak, borang aduan, lama sosial, emel dan sistem khidmat ringkas (SMS)," katanya ketika menjawab soalan Khaw Hock Kong (BN-Titi Tinggi) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Menurut beliau, BPA akan mendaftarkan aduan dalam sistem 1-Aduan Berkomputer dan meminta agensi berkenaan untuk memberi maklum balas dalam tempoh lima hari bekerja.

"Jawapan tersebut akan menentukan sama ada kes itu berasas atau tidak berasas, maklum balas akan diberikan kepada pengadu dalam masa dua hari bekerja," tambah beliau.

Mat Rawi berkata, antara aduan diterima ialah berkaitan kelewatan, tindakan tidak adil, kekurangan kemudahan awam, kelemahan peraturan, salah guna kuasa, salah laku anggota awam, kegagalan mengikut prosedur, kegagalan penguatkuasaan dan kualiti perkhidmatan tidak memuaskan.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: