Monday, December 23, 2013

Kaji pinjaman ikut harga rumah


KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dilaporkan mahu mengemukakan tuntutan supaya pinjaman perumahan berdasarkan harga rumah dan bukan mengikut kadar gaji.

Selama ini kelulusan pinjaman membeli rumah berdasarkan gaji. Tujuannya supaya mereka mampu membayar ansuran bulanan pinjaman.

Bayangkan jika separuh daripada gaji diguna untuk membayar ansuran bulanan rumah. Cukupkah baki gaji yang tinggal untuk membiayai kos keperluan asas yang lain seperti makanan, pakaian, utiliti, pendidikan, kesihatan dan pengangkutan?

Biasanya sesuatu pinjaman diluluskan setelah diteliti keupayaan si peminjam membayar balik supaya tidak membebankan terutama pegawai berpangkat rendah. Tujuannya supaya mereka tidak terperangkap dalam masalah keberhutangan yang boleh menjejaskan prestasi kerja dan reputasi sebagai penjawat awam. 

Berdasarkan Perkara 4(2)(d) Perintah Am, seseorang pegawai tidak boleh mencemarkan nama baik perkhidmatan awam dengan kesusahan berat kerana hutang.

Pinjaman perumahan berdasarkan harga rumah dikhuatiri mendorong wujudnya kecenderungan menaikkan harga rumah. Eloklah CUEPACS memikirkan apakah peranan yang boleh dilakukan untuk membantu kerajaan mengawal harga rumah. Misalnya memperkasakan koperasi kakitangan awam supaya berupaya membina rumah mampu milik untuk memenuhi permintaan penjawat awam.

Bagaimanapun tuntutan CUEPACS ini mungkin didorong oleh kenaikan harga rumah yang melebihi daripada jumlah maksimum pinjaman rumah yang layak berdasarkan kadar gaji. Diharap tuntutan ini dipertimbangkan setelah diperhalusi dari segi keupayaan penjawat awam membayar balik pinjaman.

Sebab itulah langkah terbaik ialah kawal harga rumah dan binalah rumah mampu bayar dengan banyak.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: