Thursday, December 5, 2013

Pembantu tadbir solat hajat mohon kenaikan gred



Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II, Abdul Farid Salleh mengaminkan doa selepas memimpin solat hajat memohon kenaikan gred melibatkan pembantu tadbir kerajaan di Ipoh, Perak di sini hari ini.


IPOH 4 Dis. - Kira-kira 300 pembantu tadbir mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bagi memohon kenaikan gred yang didakwa tidak disemak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak 40 tahun lalu.

Timbalan Presiden Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (Keptan), Che Saad Hashim berkata, beliau yang mewakili lebih 130,000 pembantu tadbir di seluruh negara merasa terpinggir, apatah lagi golongan itu tidak termasuk dalam 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik di bawah Bajet 2014.

"Kita tiada jalan lain dan tidak mahu mengadakan demonstrasi. Hanya kepada Allah kami memohon agar pemimpin atasan melihat golongan pembantu tadbir (pekeranian/operasi) dan pembantu tadbir (kewangan) yang merupakan kelompok kedua terbesar selepas guru.

"Kita telah pun menghantar cadangan kenaikan gred ini kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di Kuching, Sarawak pada September lalu.

"Oleh itu, kita berharap Perdana Menteri yang dijangka merasmikan Konvensyen Tahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada 17 Disember ini dapat mengumumkan sesuatu tentang perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menunaikan solat hajat perdana dan bacaan Yasin di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini.

Solat hajat dan bacaan Yasin itu masing-masing dipimpin oleh Imam Besar masjid berkenaan, Abdul Farid Salleh dan Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim.

Dalam pada itu, Che Saad berkata, selain Keptan, solat hajat tersebut turut disertai oleh ahli berdaftar daripada Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU), 
Gabungan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (Auegcas) dan Kesatuan Pembantu Tadbir Kementerian Kesihatan (KepTaKes).

"Kami memohon kenaikan gred daripada N17 ke N27 tetapi difahamkan JPA memberi alasan kenaikan gred itu terlalu tinggi. Bagaimanapun, terdapat ura-ura JPA bersetuju meningkatkan tiga lapisan gred N17, N22 dan N26 kepada N21, N26 dan N28. Itu kami terima.

"Ini disebabkan beberapa perjawatan yang sama dengan kelulusan darjah enam telah diberi satu perkhidmatan lebih baik dalam kedudukan gred 17, antaranya tukang masak," katanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: