Tuesday, December 31, 2013

CUEPACS: Wujudkan kuota haji khas untuk penjawat awam

KOTA KINABALU 30 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan menyediakan kuota haji khas bagi memudahkan para penjawat awam menunaikan rukun Islam kelima itu mulai tahun hadapan.

Presidennya, Azih Muda berkata, penyediaan kuota khas itu perlu bagi memastikan penjawat awam tidak terpinggir untuk menunaikan ibadat tersebut selain mengambil kira pendapatan mereka yang rendah.
"Kalau hendak tunggu giliran kuota Tabung Haji mereka terutamanya yang hampir bersara tidak berkesempatan untuk menunaikan ibadah itu. Oleh itu CUEPACS mencadangkan kerajaan menyediakan kuota khas kepada para penjawat awam bermula tahun hadapan.

"Hal ini antara perkara yang ditekankan CUEPACS untuk dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang selain semakan semula kadar semua jenis elaun, pencen dan tangga gaji," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin CUEPACS Sabah dan wakil agensi kerajaan negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi CUEPACS Sabah, Jamian Dom.

Tambah Azih, selain kuota haji khas, kerajaan diminta memberi kelulusan kepada kakitangan awam yang mencapai umur 55 tahun untuk mengeluarkan 20 peratus wang pencen yang bakal diterima untuk perbelanjaan menunaikan umrah, perubatan atau pendidikan anak-anak.

Menurut beliau, pihaknya turut menggesa kerajaan menaikkan ganjaran persaraan kepada 10.5 peratus daripada tempoh perkhidmatan berbanding 7.5 peratus ketika ini.

Selain itu, katanya, CEUPACS mencadangkan kerajaan menaikkan Gantian Cuti Rehat (GCR) kakitangan awam kepada 180 hari berbanding 150 hari sekarang selain menimbang kadar pencen bulanan penjawat awam yang bersara kepada 80 peratus daripada jumlah gaji terakhir mereka.

"Kita akan memastikan tangga gaji semua jenis jawatan dalam perkhidmatan awam dikaji semula selaras dengan peningkatan kos sara hidup yang dibebani mereka," katanya.

Sementara itu, beliau meminta Jabatan Kesihatan Sabah memberi penjelasan mengenai isu tuntutan elaun pakaian seragam kakitangannya yang menimbulkan kekeliruan.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan mengenai arahan meminta kakitangan jabatan itu membayar balik baki elaun tempahan pakaian seragam sejak tahun 2011.

Katanya, menerusi pekeliling yang dikeluarkan sebelum ini, kakitangan jabatan itu dibenarkan membuat tuntutan tempahan pakaian seragam sehingga RM690 setahun bagi tiga pasang pakaian.

"Bagaimanapun pada 6 September lalu, jabatan tersebut mengeluarkan arahan meminta kakitangan membayar balik baki elaun berdasarkan kadar jahitan ditetapkan Pejabat Kesihatan di seluruh negeri dan jika gagal mereka akan dikenakan tindakan tatatertib," katanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: