Tuesday, December 10, 2013

JPA4U ringankan beban dihadapi mangsa banjir

Mohamad Zabidi Zainal (kiri) menyerahkan sumbangan kepada pasukan sukarelawan JPA4U selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan JPA4U di Putrajaya, semalam

PUTRAJAYA 9 Dis. - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menubuhkan pasukan sukarelawan JPA4U untuk membantu meringankan bebanan dihadapi mangsa banjir.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, JPA4U yang dianggotai oleh warga JPA di bawah badan induk 1Malaysia for Youth (iM4U) akan bertindak mengumpulkan sukarelawan di seluruh negara untuk tujuan tersebut.

"Pengumpulan itu termasuklah merentasi pelbagai bahagian JPA, kampus-kampus Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) bagi membantu mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir.

"Sumbangan yang diterima dalam bentuk wang ringgit mahu pun barangan keperluan lain akan dikumpulkan secara sistematik dan menyeluruh bagi membolehkan sumbangan dihantar kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan JPA4U, di sini hari ini.

Misi bantuan melibatkan sumbangan bantuan seperti beras, tepung dan keperluan asas seberat tiga tan itu dihantar ke beberapa kawasan terlibat dengan banjir di Pahang.

Sementara itu, Mohamad Zabidi berkata, pengumpulan sumbangan dan dana itu akan dilakukan secara berterusan bagi membantu mangsa banjir menjalani kehidupan seharian.

"Melalui gerakan awal JPA4U, bantuan makanan mula diagihkan kepada 250 buah keluarga di Kampus Intan Wilayah Timur dan sekitar bandar Kemaman, Terengganu.

"Selain itu, warga JPA juga menyumbang barang-barang lain yang bersesuaian seperti pakaia dan keperluan asas serta bantuan kewangan," katanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: