Saturday, December 21, 2013

CUEPACS sokong rumah RM90,000

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik kesediaan kerajaan membina projek perumahan untuk penjawat awam dalam lingkungan harga sekitar RM90,000.

Presiden CEUPACS, Azih Muda (gambar) berkata, projek perumahan rakyat itu sudah tentu menjadi khabar gembira kepada para penjawat awam terutama di peringkat kumpulan pelaksana untuk memiliki rumah sendiri.

"CUEPACS yang mewakili kira-kira 1.4 juta kakitangan awam di seluruh negara amat menyokong cadangan kerajaan untuk membina rumah dalam julat harga berkenaan.

"Penjawat awam dalam kumpulan pelaksana pastinya paling mendapat manfaat menerusi projek ini kerana sememangnya sebahagian besar daripada mereka tidak mampu untuk memiliki rumah melalui program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang sedang dibangunkan ketika ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa semalam tentang kesediaan kerajaan membina projek perumahan untuk penjawat awam dalam lingkungan harga sekitar RM90,000 bagi membolehkan semua peringkat golongan itu memiliki rumah sendiri.

Sementara itu, Azih berharap projek perumahan tersebut bukan sahaja dibina di Putrajaya tetapi di bandar-bandar utama yang lain.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: