Wednesday, January 22, 2014

Kekosongan jawatan kerajaan tetap diisi

PULAU PINANG 22 Jan. - Pembekuan jawatan dalam sektor awam tidak termasuk dalam 11 agenda penjimatan kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam yang memaklumkan terdapat keperluan untuk mengisi kekosongan jawatan dalam jabatan atau agensi tertentu seperti perubatan, farmasi dan pergigian.

Menurutnya, sepanjang tiga minggu pertama tahun ini sahaja sebanyak 5,000 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam telah diisi dan dijangka meningkat setiap bulan sehingga hujung tahun.

Selain itu katanya, dijangka kira-kira 20,000 penjawat awam akan bersara wajib pada penghujung tahun ini sekali gus membuka ruang kepada tenaga kerja baru untuk mengisi kekosongan yang ada.

"Pada tahun lalu seramai 65,000 pemohon telah berjaya mengisi kekosongan di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negara daripada 2.1 juta permohonan.

"Jumlah pemohon pada tahun lalu meningkat sekali ganda berbanding hanya 1 juta pada 2012 dan ini membuktikan semakin ramai masyarakat yang yakin dengan kerjaya di sektor kerajaan," katanya kepada pemberita selepas sesi interaksi bersama kakitangan awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dewan Seri Pinang di sini hari ini.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: