Tuesday, January 7, 2014

PERHEBAT PERLAKSANAAN DASAR TRANSFORMASI NEGARA - PM



Perhebat pelaksanaan dasar transformasi negara: PM 
Najib menyampaikan amanat kepada warga kerja penjawat awam di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada perhimpunan bulanan JPM di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut sama Muhyiddin dan Ali Hamsa.

Putrajaya: Pelaksanaan dasar transformasi negara perlu diperhebatkan dalam 2014 dan tahun seterusnya kerana tempoh mencapai status negara maju berpendapatan tinggi semakin singkat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, walaupun tidak mahu lari daripada landasannya, perubahan yang dilakukan tetap akan mengambil kira pandangan dan hasrat rakyat supaya pelaksanaannya tidak membebankan mereka. Sebagai contoh, beliau berkata, rasionalisasi subsidi bukan bererti kerajaan mahu hapuskan subsidi secara terus, sebaliknya akan dilakukan secara berperingkat.

“Tak ada negara dalam dunia menyediakan peruntukan pembangunan RM49 bilion, manakala insentif subsidi berjumlah RM42 bilion. Dalam satu segi ini mencerminkan kerajaan prihatin terhadap rakyat tetapi ini tak b oleh diteruskan sebab tak mapan.

“Namun, kita perlu tolong golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah selain penjawat awam. Saya yakin kalau ekonomi lebih kukuh, kedudukan negara lebih mantap, maka projek pembangunan akan bertambah dan penambahan kebajikan untuk golongan yang memerlukan boleh dipertimbangkan dari semasa ke semasa,” katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri yang pertama bagi tahun ini, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Akujanji tak dilupa
Najib juga berkata, akujanji ketika pilihan raya tidak pernah dilupakan, termasuk hasrat meningkatkan kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi negara pada kadar lima peratus atau lebih, pembaharuan ekonomi yang bersifat strategik dan pembangunan modal insan, yang menjadi antara faktor penting dalam usaha mencapai status negara maju.

Sanggup laksana perubahan

Katanya, tanpa kesanggupan melakukan perubahan dari segi struktur dan strategik, negara akan mengalami pertumbuhan ekonomi perlahan yang tidak mungkin dapat mencapai kadar pertumbuhan lima hingga enam peratus setahun.

Beliau berkata, hanya itu pilihan yang ada kerana keadaan sama turut dihadapi negara lain dan persekitaran ekonomi yang menentukan daya saing negara memerlukan Malaysia melakukan perubahan seperti digariskan dalam agenda serta dasar transformasi negara.

“Pada hemat saya, negara yang sanggup lakukan perubahan ekonomi dari segi struktur dan dasar dari semasa ke semasa melihat kepada pembangunan yang tumbuh secara mapan. Inilah keadaan yang dihadapi di seluruh dunia dan sudah tentu Malaysia tak ada kelainannya.

“Di Eurozone misalnya, walaupun krisis genting sudah berlalu, negara dalam zon ini diunjur akan melalui dekad di mana pertumbuhan ekonomi mereka akan berlaku pada tahap yang sangat rendah, malah ada yang menyifatkan dekad akan datang bagi Eropah sebagai ‘lost decade’ (dekad yang hilang).

“Jepun pula, 20 tahun alami ekonomi yang disifatkan sebagai tidak berubah sehingga Perdana Menteri baru, Shinzo Abe yang memegang jawatan akhir tahun lalu melaksanakan dasar perubahan ekonomi ‘Abenomics’,” katanya.

Najib juga membuat kesimpulan bahawa China yang dianggap sebagai enjin pertumbuhan ekonomi global pun tidak mungkin mencapai pertumbuhan sembilan hingga 10 peratus setahun, melainkan melakukan perubahan menyeluruh terhadap sistem ekonomi sedia ada.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments: