PENGUMUMAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan sebelas langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam bermula 1 Januari 2014 dilihat sebagai langkah proaktif.
Isu inflasi atau kenaikan kos barangan berpunca daripada banyak faktor yang memerlukan tindakan pengawalan kerajaan, kerjasama daripada pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), peranan persatuan pengguna dan sikap rakyat sendiri.
Dalam sebuah negara yang mengamalkan pasaran bebas, kadar inflasi sering menjadi petunjuk yang melibatkan kuasa beli yang semakin tinggi dan menyebabkan kelompok yang berpendapatan rendah atau di bawah paras kemiskinan merasakan keperitannya.
Kawalan harga daripada pihak yang berkuasa dan menentukan kecukupan bekalan barangan terkawal boleh membantu. Peniaga jangan dibiarkan menaikkan harga barangan sesuka hati. Dalam apa keadaan peniaga mahu mempertahankan keuntungan yang maksimum dan pengguna sering menjadi mangsa.
Kepada kerajaan, strategi berhemat dan bercermat harus dilipatgandakan. Sebelas strategi penjimatan diharap sebagai suatu permulaan dan banyak lagi dalam sektor awam penjimatan perbelanjaan harus berlaku kerana pemborosan dan pembaziran menyumbang kepada situasi yang terjadi.
Ketegasan pihak berkuasa melaksanakan pemantauan kenaikan harga yang melampau dan tidak munasabah perlu dilakukan dengan berkesan dan telus. Ia tidak harus bersifat bermusim dan berpilih. Selagi tindakan tidak dibuat dan hukuman tidak diberi, pengguna bakal terus menjadi mangsa dan peniaga akan bermaharajalela.
Pihak swasta juga harus respons terhadap langkah kerajaan supaya penjimatan menjadi agenda nasional. Dengan itu pembangunan negara terbina atas asas tanggungjawab bersama yang akhirnya membawa kepada kesejahteraan rakyat.
Pihak swasta dan GLC lebih cenderung mengumumkan keuntungan yang berlipat ganda pada setiap tahun sedangkan rakyat dan pengguna terbeban dengan kos kepenggunaan dan perkhidmatan.
Harga rumah yang melambung naik umpamanya adalah contoh yang sangat ketara di mana-mana terutama di Lembah Klang. Ia menyebabkan yang kaya bertambah kaya dan kuasa beli dalam kalangan rakyat menjadi kecil.
Keadaan yang tidak seimbang ini menyebabkan taburan demografi menjadi tidak seimbang juga apalagi membenarkan pihak luar memiliki harta kita. Mereka mempunyai kuasa beli yang tinggi dan akhirnya mereka bakal melakukan monopoli harta dan menjadikan faktor harga rumah terus meningkat.
Aliran konsumerisme dalam kalangan negara yang sedang maju semakin membudaya. Malaysia tidak dapat mengelak dari situasi ini. Corak berbelanja kalangan rakyat semakin tidak terkawal dan mereka berbelanja tanpa perancangan yang baik dan ikut kesesuaian keperluan.
Rakyat hanya mengeluh mengenai kenaikan harga barang tetapi tidak memperlihatkan sikap protes yang berkesan terhadap kepenggunaan supaya berhemat dan bercermat menjadi amalan yang baik.
Persatuan Pengguna harus lebih aktif memainkan peranan supaya masyarakat pengguna diberitahu dan dididik supaya eksploitasi yang dilakukan oleh peniaga dihadapi secara bersama. Masyarakat pengguna harus terlibat dengan gerakan persatuan pengguna supaya kuasa pengguna juga boleh menyumbang kepada naik turunnya harga barangan.
Sikap pengguna atau rakyat harus berubah dan peka terhadap eksploitasi harga. Setakat mengeluh dan merungut terhadap kenaikan harga tidak memadai. Tetapi pada masa yang sama pengguna terus berduyun-duyun ke kedai dan pasar dengan punggahan barangan di luar kawalan dan keperluan.
Sikap berjimat, cermat dan prihatin terhadap harga barangan perlu ada pada kalangan pengguna. Mengharapkan subsidi, kenaikan gaji dan elaun daripada kerajaan sebenarnya tidak membantu. Belum lagi subsidi diberi, gaji dan elaun dinaikkan, harga barang sudah mula melambung.
Tindakan menyorok barangan dan bekalan, peranan orang tengah dan peniaga yang gemar melakukan eksploitasi harga perlu dipantau dan dihadapi dengan tindakan dan hukuman yang serius.
Akhirnya sikap pengguna perlu serius berubah. Selagi pengguna tidak peka dengan cara mengguna, selagi itu peniaga naik muka. Peniaga cenderung mendapatkan untung yang maksimum. Tidak ramai peniaga yang berniaga untuk mendapat berkat daripada perniagaannya, halal dan toyyib dalam pengurusannya.
UTUSAN MALAYSIA ONLINE
No comments:
Post a Comment