Tuesday, January 21, 2014

Konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam diperkenal

ALI Hamsa (tengah) melihat buku 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' selepas melancarkannya di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan, Mohamad Zabidi Zainal (kiri) dan Othman Mahmood. 

PUTRAJAYA 20 Jan. - Kerajaan memperkenalkan konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam yang akan diterapkan kepada 1.4 juta penjawat awam dalam memastikan penyampaian perkhidmatan tersebut menepati kehendak rakyat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, konsep itu merupakan salah satu usaha transformasi kerajaan sebelum memasuki fasa Wawasan 2020 bagi menjadikan perkhidmatan awam sebagai perkhidmatan rakyat.

Beliau berkata, penjawat awam merupakan sebahagian daripada rakyat dan mereka lebih memahami kehendak dan keperluan masyarakat.

"Enam prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam seperti keterbukaan, turun padang, musyawarah, insaniah, kekitaan dan kerjasama bersama swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ialah satu pendekatan dalam mewujudkan penyampaian terbaik.

"Sudah pastinya kerangka baharu ini menjurus kepada bentuk perkhidmatan yang akan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat," katanya ketika berucap dalam Majlis Amanah Bersama Ketua Setiausaha Negara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Othman Mahmood.

Beliau kemudian melancarkan buku 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' yang akan dijadikan kerangka panduan penjawat awam ketika berurusan dengan rakyat.

Antara salah satu prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam ialah turun padang yang dilihat sebagai pendekatan berkesan untuk mengenal pasti isu dihadapi dan dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

Sementara itu, Ali mengajak penjawat awam untuk berganding bahu dan berdiri teguh bersama kerajaan dalam memperkasakan agenda transformasi ke arah menjadi sebuah negara maju yang disegani di persada antarabangsa.

"Adalah diingatkan bahawa masa depan kian mencabar, maka kita tidak mempunyai pilihan selain harus bertekad pada saat ini untuk melakukan perubahan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

"Dalam soal ini, semua penjawat awam perlu memainkan peranan dalam menjawab tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan selain menjelaskan agenda transformasi kepada rakyat," katanya.

UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments: